20090429

Nabi Ibrahim pengikut ajaran tauhid

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi dan Kristian yang mendakwa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhan. Begitu juga agama Nabi Ibrahim a.s.

“Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta meruntuhkan segala berhala”.

Ayat ke-67

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Sebab Nuzul

Ibn Jauzi berkata: Ada dua pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.

Pertama: Pembesar Yahudi berkata kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama daripadamu dengan agama Ibrahim a.s dan dia adalah di kalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..

Kedua: Amru bin al-As hendak menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat Nabi seraya berkata: “Mereka mencerca Isa a.s lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?”

Mereka menjawab ia adalah hamba Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkannya kepada Maryam, kemudian turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s tidak syirik tetapi menganut agama yang sebenar serta beriman”.

Ayat ini sebenarnya sama seperti ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.

ii. Al-Qurtubi berkata: “Allah menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi Ibrahim a.s di atas agama yang sebenar tanpa sekutu”.

iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu datang selepasnya. Begitu juga bukan golongan Nasrani kerana golongan itu datang selepasnya.

“Berdasarkan kepada kalimah Hanif jelas menunjukkan bahwa Ibrahim AS penganut agama yang bersih datang daripada Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana arah pun”.

iv. Al-Maraghi berkata: “Nabi Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatannya oleh bangsa Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak ada dengan agama mereka penyembahan berhala.

“Baginda seorang yang hanya menyerah diri kepada Allah SWT semata dan seorang yang taat kepada-Nya”.

v. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s bukan seorang Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani seperti yang diakui oleh orang-orang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.

“Sebaliknya, dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau”.

Ayat ke-68.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya- umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Orang yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya adalah Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya di kalangan Muhajirin dan Ansar serta mengikut jejak mereka”.

ii. Riwayat Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di kalangan Nabi-nabi. Dan waliku di kalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s) dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.

“Kemudian Nabi SAW membaca ayat ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekelian orang-orang Yang beriman”.

iii. Al-Maraghi berkata: “Inilah hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa seperti itu bererti dia telah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari)”.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa beliau mahupun yang sesudahnya”.

v. Hamka berkata: “Tuhan menjamin bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau mudarat dalam ala mini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara oleh Allah SWT”.

Demikianlah ayat yang membincangkan berkenaan dengan dakwaan Nabi Ibrahim AS dari golongan mereka sedangkan dakwaan itu adalah meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh Allah SWT.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan yang lain.


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com