20090427

‘Boomerang’ rampasan kuasa

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor ini menjadi cukup popular sebagai pembangkang apabila kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR ditubuhkan di Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Sewaktu pemimpin Barisan Nasional (BN) Perak yang lain masih ‘termangu dan hiba’ dengan keputusan pilihan raya 8 Mac tahun lalu, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir sering tampil menjadi benteng menangkis dakyah terhadap parti dan Kerajaan Pusat.

Selaku bekas Exco Pemuda UMNO, apa yang tergerak di hati mudanya ialah menunaikan tanggungjawab sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Sedikit pun beliau tidak menyangka yang kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang hanya mampu bertahan 11 bulan dan lebih mengejutkan lagi – beliau kini yang menerajui Kerajaan Negeri Perak.

Sejak dilantik menjadi Menteri Besar Ke-11 pada 6 Februari lalu, beliau menghadapi cabaran yang cukup hebat untuk mentadbir dalam keadaan krisis – politik dan perundangan membelenggu negeri.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN, Dr. Zambry, 47, berkongsi perasaannya menghadapi cabaran terbaru bagi merampas kembali kerusi tradisi BN iaitu Parlimen Bukit Gantang (P059) yang beralih ke tangan Pas pada pilihan raya lalu.

UTUSAN: Bagaimana jentera BN hendak menangani tuduhan ‘merampas kuasa’ yang dilemparkan oleh pembangkang sepanjang kempen pilihan raya kecil ini?

ZAMBRY: Saya selalu menekankan soal siapa yang mula-mula mencetuskan episod ini? BN atau pakatan pembangkang? Ini adalah soalan asas saya jika mereka hendak membangkitkan isu kononnya berlaku ‘rampasan kuasa’ oleh kerajaan Barisan Nasional di Perak. Rakyat perlu bertanya semula siapa yang memulakan segala huru-hara yang berlaku di negeri ini?

Tetapi bagi kebanyakan rakyat, mereka tidak peduli siapa yang memulakan kekecohan ini tetapi siapa yang salah dalam hal ini?

Kita sentiasa menegaskan bahawa pokoknya bukan siapa salah siapa betul. Jika kita mengatakan kedua-dua pihak pun salah, itu tidak betul. Mereka yang salah. Pembangkang cuba meletakkan kesalahan di bahu kita.

Mereka memutarbelitkan (fakta) apabila menuduh kita merampas kuasa. Sedangkan cuba imbas kembali siapa yang memulakan episod ini semua? Siapa yang cuba memancing wakil rakyat kita untuk melompat ke sebelah mereka?

Pembangkang mendesak supaya dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas alasan supaya dikembalikan kuasa memilih kerajaan kepada rakyat.

Sewaktu (Datuk Seri Ir. Mohammad) Nizar (Jamaluddin) meraikan ‘detik bersejarah’ apabila wakil rakyat kita melompat parti, beliau secara terbuka menyatakan tindakan itu betul kerana ia hak demokrasi. Kenapa kita perlu menahan orang daripada berubah menyokong pihak satu lagi, katanya pada masa itu.

Kemudiannya apabila orang tanya kenapa dia tidak adakan pilihan raya kecil, dia jawab: “Buat apa? Kita bukan tak cerdik nak adakan pilihan raya sedangkan ADUN yang melompat tak layak untuk bertanding selama lima tahun.”

Itu alasan dia pada masa itu... Tetapi apabila tiga wakil rakyat daripada sebelah dia pula yang melompat ke kem kita, cakap dia sudah bertukar. Pakatan pembangkang mula bercakap tentang ‘rampas, rampas, rampas.’ Mereka tak henti-henti menuduh kita merampas kuasa sedangkan mereka yang memulakannya.

Tidakkah slogan ‘rampasan kuasa’ yang dilemparkan pembangkang itu menjejaskan kempen BN?

Kita perlu tegas dalam hujah kita. Sebab kita perlu menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya. Saya dapat melihat pembangkang ini sering cuba mengaitkan diri dengan sultan dan apa jua institusi yang boleh memberi keuntungan politik kepada mereka. Tetapi secara automatik pula mereka akan ‘menghentam’ sultan dan mufti apabila tidak menyebelahi mereka.

Sebab itu kita perlu menerangkan sejelas-jelasnya kepada rakyat perkara sebenar. Saya akui ia tugas sukar tetapi kita akan buat dan teruskan. Rakyat perlu mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Adalah tidak adil jika rakyat hanya disogokkan dengan versi mereka dan menafikan hak kita untuk memberi penjelasan. Rakyat tidak patut dibiarkan terus dikelabui oleh tohmahan pembangkang.

Sejauh mana BN serius dan bersedia menghadapi pembangkang yang giat menyusun jadual kempen dan ceramah di lebih 10 tempat hampir setiap malam di kawasan Bukit Gantang ini?

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com