20090425

'Kenyataan saya tepat'

PUTRAJAYA 14 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dimaklumkan oleh Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat bahawa kenyataannya mengenai kemerosotan undi BN daripada kaum Cina pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini adalah tepat dan tidak mengelirukan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataannya itu bagaimanapun mungkin sengaja diputarbelitkan oleh akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Tegasnya, perbuatan itu adalah serius yang sekali gus menyebabkan imejnya dipandang buruk oleh masyarakat Cina.

''Saya bercakap dengan Tee Keat dan dia menyatakan tiada sebarang kesalahan dengan kenyataan itu.

''Saya telah nyatakan dengan jelas dan tepat tapi jika ada pihak yang memutarbelitkan, ia perbuatan serius," katanya pada sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Menteri Pelajaran di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Beliau mengulas reaksi beberapa pemimpin MCA, Gerakan serta DAP yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya dalam ruangan Wawancara di Mingguan Malaysia Ahad lalu.

Mereka mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang bermaksud kaum Cina di negara ini tidak menghargai segala sumbangan Barisan Nasional (BN) dengan mengundi parti pembangkang pada pilihan raya kecil baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, mereka sepatutnya melihat kenyataan berkenaan dalam konteks keseluruhan dan bukan sekadar memetik daripada beberapa ayat.

Jelasnya, dalam kenyataan itu, beliau hanya menganalisis keputusan pilihan raya di Bukit Gantang dan ia tidak mencerminkan sokongan pengundi Cina di seluruh negara.

Beliau menambah, analisis sedemikian dibuat oleh BN pada setiap pilihan raya dan kadang-kala hasil yang diperoleh terpaksa dinyatakan secara terbuka walaupun ia agak sensitif.

''Dalam analisis itu, ternyata sokongan pengundi Cina di Bukit Gantang merosot berbanding pilihan raya umum 2008.

''Itu sebab saya kata seolah-olah sumbangan BN tidak dihargai mereka dan kita perlu tahu kenapa pemikiran kaum Cina sebegitu," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com