|
|
IPOH 1 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini mendakwa pengisytiharan kekosongan kerusi mereka oleh Sivakumar adalah tidak sah.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang membuat keputusan di kamarnya juga mengetepikan permohonan tiga bekas Exco kerajaan negeri dan tiga pengundi untuk menjadi pencelah dalam kes saman tiga ADUN Bebas itu terhadap Sivakumar.
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mengetuai barisan enam peguam mewakili tiga ADUN terbabit berkata, keputusan itu sangat signifikan kerana bakal menyelesaikan isu perlembagaan Perak secepat mungkin dengan berkesan.
''Tindakan mahkamah menolak permohonan Sivakumar juga sangat penting supaya mahkamah dapat menentukan dengan segera sama ada peletakan jawatan tiga ADUN itu sah atau tidak," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.
Hujung Februari lalu, tiga ADUN Bebas terbabit mengemukakan saman pemula menuntut mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar yang mengisytiharkan kerusi mereka kosong.
Sivakumar kemudian memfail permohonan membatalkan saman pemula berkenaan.
Ini diikuti tiga bekas Exco kerajaan pembangkang, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi DUN terbabit, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abd Latip Ariffin (Changkat Jering) and Foo Han Wai (Jelapang) memohon sebagai pencelah dalam perbicaraan.
Tiga ADUN Bebas itu juga sudah memfail semakan kehakiman mengenai semua aspek perundangan membabitkan surat peletakan jawatan mereka dan kes itu akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat ini.
Mengulas lanjut, Firoz berkata, keputusan mahkamah itu sangat positif kerana ia akan membolehkan Perak kembali normal daripada kecelaruan krisis perlembagaan.
Jelas beliau, ia seterusnya akan menjadikan kerajaan negeri berfungsi dengan lancar dan dapat berkhidmat untuk rakyat dengan stabil.
''Itulah perkara utama yang hendak kami capai kerana isu yang ditimbulkan dalam kes ini adalah berkaitan dengan krisis perlembagaan.
''Ini termasuklah bagaimana kerajaan Perak boleh memerintah, bagaimana Speaker mengambil tindakan, dan adakah peletakan jawatan itu sah atau tidak," katanya sambil menambah perbicaraan kes tersebut telah ditetapkan pada 8 April ini.
No comments:
Post a Comment