20090402

Rasuah: Pemimpin kanan Umno disiasat

Beberapa pemegang jawatan tinggi Umno sedang disiasat berhubung amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti itu minggu lepas, kata seorang ahli Lembaga Disiplin Umno.

"Saya tak ariflah kes-kes yang mana disiasat sekarang tapi saya dengar memang ada kes yang sedang disiasat. Sampai hari ini boleh tahan jugalah (bilangannya).

"Berkaitan dengan jawatan tinggi pun ada banyak," Tan
Sri Megat Najmuddin Megat Khas dipetik berkata hari ini.

Beliau ditanya sama ada masih terdapat laporan politik wang yang disiasat oleh lembaga itu walaupun setelah perhimpunan agung itu berakhir Sabtu lepas, lapor Bernama.

"Memang dalam perhimpunan agung, itulah masanya pun berkempen cara politik wang," katanya.

Jelasnya, beliau bagaimanapun tidak terbabit secara langsung dalam siasatan berkenaan kerana sebagai anggota lembaga disiplin, mereka tidak boleh menjadi penyiasat, pendakwa dan juri sekali gus.

Ditanya sama ada kes berkenaan membabitkan juga ketua baru Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Megat Najmuddin berkata jika terdapat bukti sesiapa sahaja akan dikenakan tindakan.

"Sesiapapun kita akan dakwa kalau ada bukti sahih yang teguh, tapi kalau bukti tak kuat, susah. Baik laporkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Lembaga Disiplin," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, Megat Najmuddin berkata pemberian wang untuk makan dan minyak bukan satu kesalahan kerana yang penting ialah niat di sebalik pemberian wang itu.

"Kalau RM50 sekalipun tujuannya untuk membeli undi itu dikira rasuah politik dan politik wang. Jumlah tidak penting dan apa yang penting ialah niat," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com