JAKARTA 1 April – Sultan Hamengku Buwono X menekankan kesungguhannya untuk bertanding jawatan Presiden Indonesia pada Pemilihan Presiden pada 8 Julai ini dan hari ini beliau mengugut keluar daripada Parti Golkar jika tidak mendapat sokongan partinya.
“Saya akan pindah ke parti lain kalau Golkar tidak menyokong pencalonan saya pada konvensyen Golkar nanti,” tegas Sultan ketika menghadiri kempen calon Golkar di Palembang Sumatera Selatan.
Sultan bagaimanapun, tidak memperinci parti mana yang akan disertainya nanti jika keluar daripada Golkar, tetapi ia pastinya parti yang mampu mencapai 25 peratus suara pada Pemilihan Umum bagi melayakkannya bertanding pada Pemilihan Presiden.
Sikap tegas raja Yogjakarta itu yang tetap mahu bertanding jawatan presiden menimbulkan konflik dalaman parti kerana Ketua Umum Dewan Perwakilan Pusat (DPP) Golkar, Jusuf Kalla yang juga Naib Presiden Indonesia juga akan bertanding jawatan yang sama.
Sementara itu, Okezone melaporkan Naib Setiausaha Agung (DPP) Golkar, Rully Chairul Anwar menghargai hasrat Sultan tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu terlalu awal untuk diperkatakan kerana keputusan calon presiden hanya akan dibincangkan selepas selesai Pemilihan Umum (Pemilu).
“Kita akan tetap menghargai keinginan Pak Sultan untuk maju sebagai capres (calon presiden) Golkar. Tapi capres ini masih belum formal,” ujar beliau.
Menurut Rully, kata dua Sultan itu merupakan pernyataan peribadi yang akan dibahas pada penentuan capres Golkar setelah pemilu legislatif nanti.
“Semua orang juga boleh mengeluarkan kenyataan. Tapi keputusannya akan dibincangkan setelah pemilu legislatif,” katanya.
Ketika ini kata Rully, parti berlambangkan pohon beringin itu sedang memberi tumpuan untuk memenangi pemilu bagi meneruskan kesinambungan parti yang telah berusia 65 tahun itu.
“Jadi ini (ancaman Sultan) tidak perlu dianggap berlebihan,” jelas beliau. – Utusan
1 comment:
Dukung sultan sepenuhnya......!!!!
Post a Comment