20090516

13 Mei, 40 Tahun Yang Lalu

Bayangkan ini, sekumpulan anggota bersenjata dari keturunan Melayu memasuki perkarangan sekolah cina dan melepaskan tembakan bertubi-tubi di dalam bilik darjah.

Bayangkan ini, sekumpulan pemuda berketurunan Cina memasuki panggung wayang dengan parang dan senjata tajam dan mencederakan mereka yang sedang menonton wayang tersebut.

Ini adalah diantara dua kisah yang tidak pernah lenyap dan diceritakan dari generasi ke generasi selepas 13 Mei 1969. Kisah sebenar dengan perincian sebenar termasuk jumlah kehilangan nyawa tidak mungkin akan kita semua ketahui kerana fail-failnya akan terus terkunci dari menjadi dokumen awam.

Siapa yang memulakan ini semua? Tak guna nak dipertikaikan kerana ia tidak akan dapat mengubah jalan cerita dalam lipatan sejarah yang telah berlaku.

Namun banyak cerita indah yang penuh romantis berlaku yang membuat kita bangga menjadi rakyat Malaysia.

Antara cerita-cerita menarik ialah bagaimana seorang anak Melayu diselamatkan oleh keluarga Cina dan keluarga India dan begitulah sebaliknya. Di dalam ketegaran amukan seringkali ada nilai kemanusian yang tinggi. Tetapi nilai kemanusian yang tinggi seringkali tidak datang dari mereka yang berada di puncak tinggi tetapi datang dari kita yang berada di jalanan.

Nilai kemanusian yang tinggi tidak juga datang dari kenderaan bersiren atau senjata api canggih. Nilai kemanusian yang tinggi disaat-saat perit memuncak dan disaat-saat kita mempertikaikan logiknya kewujudan manusia, hanya lahir dari mereka yang bukan didalam kedudukan pembuat keputusan. Ia sering lahir dari mereka yang menjadi mangsa keputusan.

Maka, 13 Mei 40 tahun kemudian, saya menyeru kepada mereka yang lantang berkata Mohamed Nizar Jamaluddin adalah balaci Cina dan berkata bahawa PAS di Perak adalah pencacai Cina, supaya berfikir sejenak tentang mereka yang dibawah sana.

Saya menyeru kepada mereka yang mempertikaikan pemberiaan hak milik kekal tanah kepada rakyat Malaysia berketurunan Cina supaya berfikir sejenak tentang anak-anak kecil yang dibunuh kejam pada 13 Mei 1969.

Pada 13 Mei 1969, darah yang mengalir tak kira dari tubuh anak kecil atau tubuh si Atuk, tak kira dari dari tubuh lelaki keturunan Cina atau pemuda keturunan India. Dan juga darah yang mengalir dari lebai Melayu, semuanya dan saya ulang, semuanya, sama saja merahnya.

Keteguhan kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum pada detik dan saat ini, tak mungkin dapat mengembalikan mereka yang telah terkorban akibat kegilaan beberapa hari di pertengahan Mei itu, tetapi akan dapat memastikan, anak-anak kita akan terus kekal bahagia sebagai rakyat Malaysia untuk beberapa generasi kemudian.

Itulah peluang kita dan peluang itu hanya bermakna jika kita memilih pemimpin yang betul untuk memimpin kita dan anak-anak kita.

Bagi mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi, peluang itu bermula dari detik anda mendaftar sebagai pemilih.

Beberapa langkah anda ke pusat pedaftaran pemilih besar ertinya buat generasi masa hadapan.

Semoga detik hitam 13 Mei 1969 hanya akan kekal dalam lipatan sejarah.

Kickdefella

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com