20090530

Kes Nizar: Lima hakim perlu ada integriti

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob menyokong penuh permohonan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mahu mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya.



Salahuddin juga mengesa agar lima hakim yang akan mendengar rayuan Nizar Khamis nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti.

Beliau menegaskan demikian sebagai respons kepada permohonan Nizar semalam yang mahu mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

"Bukan hanya lima hakim sebaliknya hakim-hakim tersebut perlulah mereka yang mempunyai intergriti dan juga telus dalam menjalankan tugas mereka.

"Jika tidak kita bimbang keputusan Khamis nanti akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana hakim yang mendengar rayuan itu terdiri daripada mereka yang boleh dibeli," tegas beliau.

Salahuddin turut menegaskan jika hakim yang dipilih tidak mempunyai integriti kepentingan awam tidak akan terbela dalam kes tersebut.

Semalam Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar mengesahkan telah menghantar surat permohonan itu melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu. - mns_

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com