20090526

Husam: DUN Perak Dijangka Bubar Minggu Depan

(TV Antara) - Dewan Undangan Negeri Perak diramalkan dibubar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang dijangka berlangsung pada hari Isnin atau Selasa depan.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa analisis beliau mengenai keputusan yang diramal memihak kepada Dr Zambry Abd Kadir telah menjadi kenyataan dan langkah seterusnya seperti beliau nyatakan sebelum ini ialah pembubarn DUN Perak.

"Posting saya tiga hari lalu telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini.

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran DUN Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini.

"Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini? Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini.

"Keputusan ini memberi kesan besar. Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya," kata Husam dalam tulisannya.

Husam mengajukan soalan adalah negara sudah bersedia menerima kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses yang beliau sifatkan sebagai "tabung uji di luar rahim" iaitu di luar Dewan Rakyat atau DUN

"Khususnya Najib, sudahkah beliau bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?

"Tiga atau lima atau tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka yang dilihat wajar. Apa lagi keputusan mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan," jelas beliau lagi.

Husam meramalkan Dr Zambry akan mengadap Sultan Perak minggu depan bagi memohon DUN dibubarkan atas dasar mahu memulangkan mandat kembali kepada rakyat.

"Memang itu yang dihasratkan oleh PR tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak. Pembubaran, ya. Proses undang-undang yang adil, juga ya," kata Husam.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com