20090527

POLITIK WANG: Akuan Nik Aziz baik, tapi nasihatnya tak bagus



‘Kesimpulannya tidak kiralah parti apa pun mereka anuti, nampaknya memang pemimpin poltik tidak boleh ditegur langsung
Oleh ZAKARIA BIDIN

AKHIRNYA Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan wujudnya politik wang dalam parti itu menjelang pemilihan agung Pas bulan depan. Lantas, beliau menyeru perwakilan supaya tidak termakan dek apa juga bentuk sogokan yang diberi.
Nik Aziz mengulangi ungkapannya sebelum ini: “Bagi duit, ambil. Bagi gula, kacau. Tapi jangan sekali-kali berikan undi kepada mereka sebagai menyekat kewujudan orang yang seperti ini.”
Pesannya lagi, perwakilan jangan terpedaya, jangan jadi hamba duit. Setakat ini Alhamdulillah katanya kerana Pas telah berjaya menyekat nafsu daripada terperangkap dengan duit walaupun pada hakikatnya telah gagal.
Tapi bila pasal pendedahan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi, Nik Aziz macam tidak setuju ia disebut kerana pada pandangan beliau lebih baik jangan mengada-ngada sebut kalau tiada bukti. Sehubungan itu, Mohamed Daud telah diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat dan sekiranya gagal menyediakan bukti, beliau bakal diambil tindakan disiplin.
Isu ini dilihat sangat bercanggah antara sesama pemimpin Pas. Yang seorang cuba memberitahu apa yang dia tahu sebagai amaran. Yang seorang lagi menyangkal apa yang dia sendiri akui ada permainan politik wang dalam Pas. Kesimpulannya tidak kiralah parti apa pun mereka anuti, nampaknya memang pemimpin poltik tidak boleh ditegur langsung.
Yang menegur tentu sekali akan menerima padah. Sama ada disangkal, diboikot, diberikan tekanan, dicemuh, didesak suruh tunjuk bukti dan sebagainya sebagai menunjukkan mereka sangat benci kalau mereka dikritik.
Begitulah sifat pemimpin politik. Tidak kiralah apa kedudukannya dalam parti. Asalkan mereka berada di peringkat pemimpin bersaiz ‘S’, ‘M’, ‘L’ atau ‘XL’ lebih-lebih lagi ‘XXXL’ memang tidak boleh dikritik. Sebaik sahaja dikritik, akan melentinglah ia.
Mereka juga akan kata, kalau mahu kritik, kritiklah secara positif. Tetapi sebaliknya, apabila terdengar saja dia dikritik, tentu sekali mereka akan kata kritikan itu berbentuk negatif kerana tidak ada kritik yang dimuliakan dan disebut positif.
Namun begitu, boleh dikatakan setiap pemimpin terutama bila baru memegang jawatan atau mengetuai sesuatu kumpulan akan dengan gah akan berkata, “kritiklah saya dan saya akan terima kritikan itu dengan hati yang terbuka.”


Bila dikritik, mulalah hatinya tidak sedap. Dia akan gusar, dia akan bersemuka dan menempelak orang yang mengkritiknya itu mahu menjatuhkan dia. Selama ini, inilah yang berlaku. Sama ada ketika menyatakan akan menerima kritikan dengan hati yang terbuka itu tidak siapa pasti keadaan sebenar hatinya terbuka atau selepas itu tertutup semula.

Sebenarnya pula, kalau benar-benar Nik Aziz serius mahu menentang gejala rasuah atau politik wang, beliau sepatutnya menasihatkan semua ahlinya supaya menolak apa juga bentuk pemberian yang berupa sogokan.

Sepatutnya, beliau sebagai seorang ulama berkata kepada anak buahnya supaya tolaklah pemberian wang, kain pelekat, gula-gula, hadiah dan sebagainya hingga ke paras tidak hadir pun ke majlis makan yang dianjurkan pihak bakal calon atau calon yang bertanding terutama di musim pemilihan.

Tetapi kalau perwakilan atau ahli terima juga, biarlah mereka tanggung sendiri kerana dia juga tahu pemberian itu adalah berkaitan dengan sokongan yang diraih. Merekalah yang bersubahat dan menanggung dosa secara peribadi dan tidak melibatkan parti.
Ajarlah anak buah cara-cara menolak dengan terhormat supaya tidak menyinggung orang yang ingin menabur budi. Hanya dengan nasihat itu sahaja boleh kita semua terima datangnya dari orang bertaraf ulama dan untuk dipandang mulia sepanjang masa.
Bagaimanapun, sifat menyogok itu sebenarnya terbentuk dengan sendirinya dalam diri manusia yang kononnya berbudaya mengenang budi. Begitu juga dengan apa yang diterima itu sebagai satu penghargaan kepada yang memberi. Dan tidak salah pula kalau atas budi pekerti itu menjadi unsur mendorong seseorang memberikan sokongan.

Itulah yang Nik Aziz atau sesiapa juga dalam Pas tidak dapat sekat. Mahu tak mahu, perkara sogok menyogok ini sangat sukar ditafsir kerana ia terkandung dalam adat dan budaya orang Melayu yang memberi hanya ketika ada sebab sahaja.

Mereka akan memberi cenderahati kalau melawat orang sakit, orang meninggal dunia, orang kahwin, hari ulang tahun kelahiran, ulangtahun perkahwinan, naik buai, sunat dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairanlah hingga Nik Aziz pun percaya dalam Pas sudah wujud budaya itu tanpa boleh disekat hanya dengan kata-kata.

konspirasipolitikmelayu.blogspot.com

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com