20090529

Peranan Muslimat amat penting di Kedah

Harakahdaily

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Ustazah Aishah Ghazali kini melebarkan pengaruh Muslimat ke tengah-tengah masyarakat. Sejak PAS menguasai Kedah, peranan Muslimat begitu penting. Beliau yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat di negeri Kedah tidak kekok menjalankan tugas dalam masyarakat. Namun katanya, maklumat parti mesti sampai ke akar umbi. Muslimat kena tunrun padang. Ikuti butiran lanjut bersama wartawan ROY RASUL yang menemubual beliau.

HARAKAH: Peranan muslimat dalam menjayakan misi dan visi PAS selama ini, apa yang ustazah perhatikan?

USTAZAH AISHAH: Muslimat merupa orang yang perlu turun ke akar umbi untuk memastikan wanita-wanita di bawah mendapat maklumat yang penuh dan jelas tentang dasar-dasar parti. Ini kerana kadang-kadang muslimat hanya berada di rumah dan mendapat maklumat-maklumat dari TV dan akhbar-akhbar saja. Sebaliknya, dasar-dasar dan hak mereka dalam PAS, tidak diketahui. Oleh kerana itu Muslimat mesti ke turun ke ceruk rantau untuk mereka menjelaskan dasar dan perjuangan parti.

Dokongan muslimat di seluruh negara begitu mantap terhadap parti. Setakat ini adakah ustazah berpuas hati terhadap penyertaan muslimat dalam haraki kepimpinan PAS di peringkat pusat mahupun negeri?

Ya! Memang dokongan Muslimat PAS di seluruh negara semakin kukuh. Bagaimanapun, dalam kepimpinan PAS Pusat, mereka yang duduk saebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tidak ramai. Tidak sampai lima peratus lagi. Kalau boleh diberi laluan dan peluang supaya Muslimat berada dalam barisan kepimpinan AJK PAS Pusat. Tambahan pula suara wanita sekarang ini lebih terbuka dan di kalangan penduduk sendiri wanita lebih daripada lelaki. Oleh itu suara wanita kena lebih, dalam setiap organisasi parti. Pertambahan bukan sekadar jawatankuasa tetapi jawatan-jawatan penting yang lain.

Bagaimana pula dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat khususnya di Kedah yang ustazah terlibat secara langsung, adakah ia diterima oleh rakyat sepenuhnya?

Dalam pentadbiran kerajaan, Muslimat sebenarnya diterima dan kita nampak sokongan diberi kepada saya. Tetapi kami masih belajar untuk menjadi pemimpin dalam kerajaan yang ada sekarang khususnya di Kedah. Di Kelantan saya rasa mereka sudah ada wakil rakyat daripada wanita dan sekarang ini sudah ada tiga orang wakilnya dan ini menampakkan Muslimat diterima oleh kerajaan dan rakyat. Muslimat pun sudah ke depan sekarang ini. Di Kedah, walaupun baru seorang yang menang, kita bersyukur kerana walaupun baru seorang menang, ia tetap diberi laluan untuk menjadi Exco Kerajaan Negeri.

Ini sesuatu yang cukup bertuah kerana diberi mandat yang begitu besar oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak untuk memimpin wanita-wanita di Kedah. Penerimaan masyarakat Alhamdulillah, saya pun baru berbincang dengan Wanita Umno. Dan mereka cukup seronok bertemu dengan kita sebagai wakil rakyat muslimat. Mereka berpandangan wakil rakyat PAS begitu prihatin terhadap rakyat bawahan.

Bagaimana sikap masyarakat bukan Melayu?

Di Dun saya sendiri masyarakat bukan Melayu terlalu ramai hampir 10,000 pengundi daripada keseluruhan pengundi seramai 27,000. Dan kita nampak masyarakat bukan Melayu menerima saya dan PAS begitu menggalakkan.

Sebagai sayap parti, adakah ustazah berpuashati dengan peranan yang dimainkan oleh Muslimat selama ini di tengah-tengah kelompok masyarakat?

Sebenarnya saya kurang gemar bila dikatakan Muslimat sebagai sayap parti. Ini kerana Muslimat satu badan yang berada dalam parti. Muslimat berperanan sangat penting. Di Kedah sendiri Muslimat begitu diperlukan dalam masyarakat setelah PAS menjadi kerajaan. Peranan Muslimat begitu besar dan sekarang ini kita menubuhkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) daripada Muslimat. Ia bertujuan untuk kita memasuki segenap ruang lingkup wanita kerana ada wanita yang tidak boleh menerima kita atas dasar parti. Dengan itu, akhirnya mereka menerima kita sebagai badan NGO yang sentiasa memberi khidmat kepada rakyat.

Baru-baru ini Perdana Menteri Dato', Seri Najib Tun Razak melantik Naib Presiden Umno, Dato' Shafie Apdal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah sebagai misi untuk merampas Kedah...

Beliau (Dato' Shafie) itu orang luar atau orang yang diimport untuk membersih Umno Kedah. Ini satu kesilapan dan ia tidak akan menjejas PAS di Kedah. Bagi kami tidak ada apa-apa... kerana orang luar tidak memahami persekitaran dalam negeri ini. Malah ia memudahkan muslimat dan jentera PAS untuk bergerak terus bersama-sama dengan rakyat di seluruh Kedah. -azm _

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com