20090527

Beza Muktamar PAS dengan Perhimpunan Umno

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my

KETERBUKAAN Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam menghadapi Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 55 yang dijadualkan berlangsung awal Jun depan di Shah Alam, amat dialu-alukan banyak pihak.

Ustaz Abdul Hadi secara terus terang membuka ruang seluas-luasnya kepada sebarang pertandingan dalam PAS. Beliau menawarkan diri untuk bertanding dan sedia dicabar.

Malah dengan rasa rendah hati beliau mengatakan, jika sekalipun beliau tewas, beliau akan tetap istiqamah dalam PAS.

Sebagai sebuah parti Islam yang menjunjung prinsip-prinsip Islam dalam perlembagaannya, sikap yang ditunjukkan Ustaz Abdul Hadi ini membuktikan bahawa, PAS parti yang mengamalkan sistem pemilihan secara demokratik, jauh lebih baik daripada Umno.

Media arus perdana cuba memalit dan memesongkan persepsi rakyat, bahawa wujudnya perpecahan yang serius, wujudnya kelompok-kelompok dan usaha jatuh menjatuh pemimpin tertentu.

Hakikatnya apa yang dipaparkan hanyalah khayalan media akibat kerosakan teruk yang berlaku dalam Umno, mahu dijangkitkan pula kepada PAS.

Dalam persoalan pemilihan pucuk pimpinan, PAS tidak akan menjadi seperti Umno dan Umno tidak mungkin akan menjadi setulus PAS.

Sesiapa yang mahu bertanding dalam PAS tidak boleh lari daripada prinsip-prinsip Islam.

Dalam PAS tidak diperlukan kuota untuk melayakkan seseorang itu bertanding mana-mana jawatan yang diminatinya. Pemimpin PAS tidak perlu turun ke kawasan-kawasan untuk melobi mendapatkan pencalonan.

Calon-calon yang bertanding juga tidak perlu pergi berkempen sama ada secara individu atau secara berkelompok untuk menemui perwakilan di seluruh negara.

Calon pemimpin dalam PAS tidak perlu membuat cabutan nombor untuk senarai nama dalam kertas undi. Mereka tidak perlu mencetak kad nama, membuat poster atau kain pemidang.

Calon tidak boleh lobi melobi, tidak boleh memburuk-burukkan calon lawan dan sama sekali tidak perlu menggunakan wang untuk berkempen.

Politik wang tidak boleh wujud dalam PAS kerana ianya bercanggah dengan Islam. Jika terdapat mana-mana pemimpin yang terkena dengan jangkitan Umno, mengamalkan politik wang, nescaya awal-awal lagi dia akan ditolak ahli-ahli PAS.

Dalam erti kata lain, ahli-ahli PAS, perwakilan PAS ke Muktamar tidak boleh disogok sama ada dengan wang, jawatan, tender atau sebagainya.

Ketulusan inilah sebenarnya yang membezakan antara PAS dengan Umno. Jurang perbezaan ini amat besar sebenarnya.

Pengamalan sistem yang berlandaskan Islam inilah sebenarnya, yang menjadi tunjang kekuatan PAS.

Jikapun berlaku pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam PAS, jikapun pemimpin tertinggi PAS tewas dalam pertandingan, nescaya parti tidak akan pecah.

Amalan dalam PAS cukup jelas. PAS tidak menolak hasrat atau menghalang sesiapa sahaja yang layak untuk bertanding. Mereka yang bertanding bukannya hendak menonjolkan diri atau kepentingan peribadi.

Calon-calon berhak menawarkan diri dan mengemukakan hujah secara rasional, apakah manfaat yang akan diperolehi PAS, jika perwakilan memilihnya sebagai pemimpin.

Seperti amanat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada perwakilan Muktamar PAS, "pilihlah pemimpin yang berkualiti dan mereka yang menawarkan diri untuk bertanding harus tahu, mereka sebenarnya ada kualiti untuk dipilih sebagai pemimpin."

Justeru, walaupun PAS akan menghadapi pertandingan dan pemilihan dalam Muktamarnya ke 55 ini, apapun keputusan, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pemimpin, PAS tidak akan berpecah, PAS akan tetap utuh dan terus mendapat kepercayaan rakyat.

PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno!_

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com