Oleh ZABIDI NOOR
SETAKAT ini, harapan Geng 10 yang cuba menggoncang kedudukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, supaya ditukar kepada muka baru tidak tercapai sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada pertukaran menteri besar bagi melupuskan desas desus yang sengaja dibangkitkan melalui pelbagai cara.
Saranan Muhyiddin itu jelas membawa maksud UMNO tidak dapat melayn desakan mana-mana kumpulan yang dengan sengaja mengeruhkan suasana politik setelah BN bersusah payah mendapatkan semula Negeri Terengganu dari tangan pembangkang.
Segala usaha Geng 10 yang telah membuat roadshow cuba menjejeh keburukan menteri besar dan orang-orangnya tidak mendatangkan kesan apa-apa. Malahan usaha mereka untuk memindahkan kebencian Setiausaha Badan Perhubungan Negeri, Datuk Rosli Md. Hassan juga gagal kerana kerjasama dan keintiman orang-orang yang setia dengan pucuk kepimpinan negeri telah menunjukkan semangat jitu mahu hanya memandang ke satu arah iaitu terus memajukan Terengganu daripada melayan karenah dan niat buruk Geng 10.
Bagaimanapun, atas usaha mereka melalui drama menghantar SMS ugutan yang dilihat satu kerja sia-sia dan tidak cerdik itu telah meletakkan orang luar Terengganu untuk memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dengan lantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein buat sementara waktu.
Itupun, Hishamuddin telah pernah menyebut bahawa apabila keadaan sudah pulih, beliau akan menyerahkan semula jawatan itu kepada Ahmad Said untuk meneruskan wadah perjuangan parti dan kerajaan.
Selain itu, kata-kata Muhyiddin yang terus terang meminta semua pihak tumpukan kepada pembangunan yang lebih pesat dan ia mesti diutamakan. Katanya lagi, semua pihak tidak kira sama ada ADUN, bukan ADUN, pemimpin parti, berjawatan atau tidak, hendaklah berganding bahu pertahankan kedudukan di Terengganu.
Maksud timbalan perdana menteri itu jika ditafsir lebih jauh, janganlah ada pihak yang cuba-cuba bermain kotor dan menyimpan perasaan dengki dan mengada-adakan cerita sambil memukul canang pula kononnya orang itu baik dan orang itu tidak baik sebelum mengukur diri mereka sendiri terlebih dahulu.
Pastinya walaupun ada ADUN yang berdendam dan tidak mahu menerima nasihat itu, tetapi ternyata daripada kes SMS ugut itu, apabila terbongkar kisah sebenarnya nanti, rakyat sendiri akan ketahui niat mereka dan drama rekaan mereka terbukti satu usaha yang tidak mendatangkan faedah. Ia hanya lebih menonjolkan betapa besar nafsu mereka semata-mata sedangkan kemampuan sebenarnya tidak sehebat mana.
Walaupun dengan nasihat Muhyiddin itu tidak menjamin Geng 10 akan berdiam diri, tetapi sekurang-kurangnya telah memberikan tamparan kepada mereka supaya akurlah keadaan politik negara kita hari ini sebenarnya BN amat dicemburui pembangkang. Maka tidak sepatutnyalah orang UMNO pula harus mempunyai musuh dalaman dan ada usaha pancung memancung sesama sendiri yang tentunya merugikan impian rakyat Terengganu yang meletakkan harapan tinggi terhaap BN sebagai kerajaan yang boleh menjamin masa depan mereka.
Kepada Geng 10, bubarlah kumpulan itu. Jangan buat pertubuhan haram seperti Hindraf yang belum habis dengan niat buruk mereka terhadap ketenteraman awam. Kembalilah ke pangkal jalan menjunjung budaya, budi bahasa dan tata tertip Melayu sejagat.
No comments:
Post a Comment