Lapan wakil rakyat pembangkang termasuk ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran ditahan polis selepas perasmian mogok lapar Pakatan Rakyat untuk mendesak DUN dibubarkan.
Mereka ditangkap sewaktu berarak dari tapak program tersebut di pejabat DAP Perak ke mahkamah tinggi untuk menyaksikan satu saman difailkan terhadap kerajaan negeri BN yang memecat ketua-ketua kampung.
Tujuh ADUN yang ditahan: Speaker yang digugurkan V Sivakumar (DAP-Tronoh), Keshwinder Singh (DAP-Malim Nawar), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Chang Lih Kang (PKR-Teja), Leong Mee Meng (DAP-Jalong), Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (DAP-Menglembu).
Mereka antara 14 orang yang ditahan pagi ini, tidak termasuk lima pekerja syarikat pengurusan acara yang sedang menyiapkan khemah untuk acara tersebut.
Kelima-lima ditangkap di depan Wisma DAP di Ipoh selepas jam 6 pagi ini. Tiada maklumat lengkap diperolehi tentang status mereka, setakat ini.
Belon udara besar dengan tulisan 'Bubar DUN' turut dirampas. Difahamkan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh cuba meruntuh khemah untuk majlis pelancaran tetapi tidak meneruskan niat mereka.
Sekurang-kurangnya 50 anggota polis termasuk yang berpakaian biasa dan pasukan pencegah rusuhan kelihatan di sekitar ibu pejabat DAP negeri itu.
Pakatan Rakyat melancarkan mogok lapar selama 72 jam di ibu pejabat DAP itu mulai 11 pagi bagi mendesak dewan dibubarkan untuk memboleh satu pilihanraya negeri dipanggil sebagai langkah penyelesaian kemelut politik yang berlarutan sejak Februari lalu.
Menteri besar mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker gabungan pembangkang itu V Sivakumar dijadual melancarkan dan menyertai mogok tersebut.
Beberapa ADUN Pakatan dan penyokong DAP, PAS dan PKR dijangka menyertainya sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa BN.
Mogok lapar ini akan berakhir di pejabat PAS Perak petang Khamis ini.
Kira-kira jam 4.20 petang ini, semua 19 orang itu dibebaskan dari ibu pejabat polis kontinjen Perak di Ipoh.
No comments:
Post a Comment