20090526

Muhyiddin: PAS jangan terlalu yakin

Barisan Nasional akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai, kata timbalan perdana menteri, dan mengingatkan PAS agar tidak terlalu yakin akan dapat mempertahankan kerusi tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada PAS di kerusi tersebut.

"PAS jangan terlalu yakin, walaupun ini kawasan mereka, jangan ingat mereka akan sentiasa menang.

"Dalam pilihanraya umum lalu, kita kalah cuma (lebih) 1,000 undi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, BN ingin bertanding kerana kekosongan itu disebabkan kematian penyandangnya Ismail Yaakob dan bukannya kerana wakil rakyat sengaja meletakkan jawatan - seperti di DUN Penanti.

"Saya berpendapat walaupun agak awal, kita akan bertanding di kawasan itu (Manek Urai) apabila telah diumumkan kekosongannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

"Kalau di Penanti, kita tidak bertanding atas sebab yang kita dah sebutkan, yang ini kematian telah menyebabkan kekosongan berlaku."

Pilihanraya kecil kerusi DUN di Pulau Pinang itu bermula esok hingga 31 Mei ini. Isnin lalu, BN mengambil keputusan enggan mencabar PKR yang mempertahankan kerusi tersebut.

Di Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan BN akan meletakkan calonnya bagi mencabar PAS di kerusi tersebut.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata kemenangan BN di Manek Urai tidak memberi banyak makna kerana PAS menguasai majoriti besar di Kelantan.

"Kalau BN menang, ia tidak mengubah majoriti kerana kita ada majoriti dua pertiga yang besar (di DUN Kelantan)," katanya di Kuala Lumpur bagi mengumumkan kematian mengejut wakil rakyatnya itu.

Tarikh pilihanraya kecil DUN tersebut dijangka diumumkan oleh SPR Khamis ini.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, turut mengulas keputusan Mahkamah Rayuan petang ini yang mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, tiada keperluan untuk membubarkan DUN Perak kerana kerajaan BN masih sah.

"Saya berharap pihak lawan dapat menerima keputusan tersebut dengan baik dan menghormatinya.

"Tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Seboleh-bolehnya pihak lawan jangan pergi berkempen mempertikaikan keputusan tersebut.

"(Jika buat begitu) ia boleh menghina keputusan mahkamah dan menimbulkan kesangsian terhadap kerajaan BN Perak," katanya.

Muhyiddin juga berharap Pakatan Rakyat memberi peluang kepada Zambry menjalankan tugasnya yang disifatkannya "tergganggu" sejak rampasan kuasa BN, awal Februari lalu.

Katanya, BN sentiasa menghormati keputusan mahkamah sama ada menyebelahinya atau tidak.

Muhyiddin juga mengumumkan ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee sebagai sebagai setiausaha Umno Wilayah Persekutuan.

Ketua bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Azim Zabidi diumumkan sebagai bendahari dan ketua bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah pula ketua penerangan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com