20090519

Apabila yang tewas enggan terima kekalahan

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my


KEKECOHAN selama lebih lima jam pada persidangan DUN Perak, Khamis lalu mempamerkan kejelekan politik pada tahap maksimum.

Perak perlu belajar daripada Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 2004

KALAU sebelum ini kita hanya melihat kekecohan atau pergaduhan antara wakil rakyat di Parlimen Taiwan, yang sering kita jadikan bahan jenaka, kejadian sama sudah berlaku di negara ini. Kekecohan selama lebih lima jam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Khamis lalu mempamerkan kejelekan politik pada tahap maksimum.

Kejadian itu juga meletakkan semula kedudukan negara pada kelas dunia ketiga, sekurang-kurang dari segi kematangan berpolitik. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menyifatkan kekecohan sidang DUN Perak itu adalah perkembangan tragik kepada demokrasi negara dan mencemar imej Malaysia di mata dunia.

Yang pasti kekecohan itu tidak akan berlaku jika semua pihak mematuhi peraturan dan menghormati institusi Raja. Yang jelas, kekecohan yang bermula apabila bekas Speaker, V Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang memasuki Dewan terlebih dulu serta menukar tempat duduk mereka itu, menyebabkan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum dapat merasmikan persidangan.


Hanya mereka yang buta budaya dan tidak menghormati adat resam majoriti rakyat di negara ini yang sanggup 'memaksa' Sultan atau Raja menunggu begitu lama. Pembangkang dan kumpulan bersimpati dengan mereka yang mempersoalkan pelantikan Speaker baru, Datuk R Ganesan ketika sidang DUN Khamis lalu, seolah-olah lupa bagaimana pelbagai pihak turut mempersoalkan tindakan Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam ahli Exconya menghadiri sidang DUN pada Februari lalu.

Sivakumar mengumumkan penggantungan itu menerusi mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikannya � tindakan yang mengundang persoalan sama ada Speaker boleh berbuat demikian atau tidak kerana kebiasaannya tindakan seumpama itu dilakukan ketika Dewan bersidang.

Malah, ada berpendapat keputusan pada peringkat jawatankuasa itu belum dikira muktamad selagi belum disahkan oleh DUN. Bagaimanapun, isu itu tidak timbul lagi apabila DUN Perak yang bersidang Khamis lalu, melucutkan jawatan Sivakumar sebagai Speaker dengan undian 31 menyokong berbanding 28 yang menentang.

Begitu pun, selesainya mesyuarat pertama penggal kedua DUN Perak yang menyaksikan pelantikan Speaker baru itu bukan bermakna berakhirnya krisis politik dan perlembagaan negeri itu. Hari ini Mahkamah Tinggi dijangka membuat keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah antara Zambry dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, selain memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Pelantikan Ganesan sebagai Speaker baru minggu lalu pula, yang tidak diiktiraf oleh pembangkang di negeri itu, dijangka mengundang lebih banyak kes mahkamah dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan.

Semua kemelut ini bermakna tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan negeri bagi membangunkan Perak kerana tumpuan terpaksa diberikan kepada soal politik. Tindakan sebahagian rakyat Perak memberi peluang kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu, nampaknya lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikannya.

Kemelut berpanjangan ini boleh dielakkan sekiranya prinsip asas demokrasi dihormati, iaitu pihak yang kalah menghormati pihak yang menang, walaupun dengan satu undi. Hakikatnya pakatan pembangkang yang merangkumi DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Pas di DUN Perak kini mempunyai 28 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN), walaupun juga mempunyai 28 kerusi mendapat sokongan daripada tiga ahli Bebas menjadikan kerajaan negeri sekarang mempunyai 31 kerusi.

Soal bagaimana kerajaan negeri mendapat sokongan ahli Bebas adalah isu lain, tetapi soal pokoknya kerajaan negeri mempunyai majoriti mencukupi bagi membolehkannya berfungsi. Pembangkang seolah-olah lupa bahawa tiga anggota mereka keluar parti secara sukarela, bukannya dibeli BN, walaupun ketika itu Pakatan Rakyat sendiri yang sibuk memujuk wakil rakyat BN melompat parti.

Keadaan di mana kerajaan negeri mempunyai majoriti tipis bukan perkara baru, malah ia mampu bertahan sepenggal pilihan raya apabila pihak yang kalah menghormati keputusan rakyat dan menghayati semangat demokrasi. Pada Pilihan Raya Umum 2004, BN mencatatkan pencapaian terbaiknya di Kelantan dalam tempoh 20 tahun apabila memperoleh 21 kerusi daripada 45 yang dipertandingkan.

Walaupun gagal menawan semula Kelantan, BN, selain menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Pas Kelantan, yang mempunyai 24 kerusi, mencatatkan pertambahan undi di kawasan yang ia tewas. Di DUN Kemuning, misalnya, calon Pas hanya menang dengan majoriti dua undi. Setahun selepas itu, majoriti kerajaan Pas di DUN Kelantan tinggal satu kerusi apabila BN memenangi pilihan raya kecil Pangkalan Pasir.

Bagaimanapun, kerajaan Pas Kelantan terus berfungsi sehingga Pilihan Raya Umum 2008, manakala BN menjalankan tanggungjawabnya sebagai pembangkang yang kuat dalam tempoh itu. BN tidak mendesak atau melakukan perkara yang memaksa kerajaan Pas membubarkan DUN Kelantan ketika itu kerana sedar pilihan raya baru bukan saja membazirkan wang, malah menimbulkan ketidaktentuan baru, selain menjejaskan perancangan kerajaan untuk rakyat pada penggal pilihan raya berkenaan.

Malangnya ini tidak berlaku di Perak, walaupun kerajaan negeri sekarang mempunyai kelebihan sokongan tiga kerusi daripada calon Bebas itu. Kematangan rakyat membuat pilihan belum cukup untuk mematangkan kebanyakan wakil rakyat pilihan mereka.

Slogan demokrasi dan keterbukaan yang sering dilaungkan pembangkang hanya tinggal slogan kerana mereka sendiri ternyata gagal mematuhi salah satu prinsip asas demokrasi � bersetuju untuk tidak bersetuju. Hari ini keputusan dibuat berhubung kesahihan Zambry sebagai Menteri Besar Perak. Apapun keputusan mahkamah nanti, rakyat Perak yang mulai bosan dengan kemelut politik negeri itu menunggu apakah reaksi kedua-dua pihak nanti.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com