20080904

Amaran BPR terhadap pemberi laporan palsu

JB: Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat laporan atau memberikan bukti-bukti palsu berkaitan jenayah rasuah melibatkan penjawat awam.

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata tindakan itu bukan sahaja membuang masa pihaknya melakukan siasatan malah dianggap fitnah dan menganiaya mereka yang tidak melakukan jenayah rasuah.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka mengikut (Seksyen 182) Kanun Keseksaan," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Jawatan Bersama Mencegah Rasuah antara Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) dan BPR.

Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Majistret Kajang Isnin lepas yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Ketua Pemuda Umno Cawangan Lengkok Golf, Kelana Jaya, Mohd Rusihan Abu Aziz yang mengaku salah membuat laporan palsu mengenai rasuah politik 30 Julai lalu.

Mengenai gejala rasuah di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom), beliau berkata belum ada tangkapan lanjut berkaitan rasuah membabitkan kelulusan kereta.

Ahmad Said berkata BPR masih memantau kes itu dan menjangka beberapa tangkapan akan dibuat pada masa akan datang.

Mengenai MoU itu, katanya ia bertujuan meningkatkan sistem penyampaian dan keyakinan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh MBJB.

Jawatankuasa dengan keanggotaan minimum seramai 15 orang itu dipengerusikan bersama oleh Datuk Bandar Johor Baharu Datuk Naim Nasir dan Pengarah BPR Johor Simi Abdul Ghani.

Ia akan melihat dan menutup sebarang lompang yang memberi peluang berlakunya jenayah rasuah dalam MBJB.

MBJB merupakan kerajaan tempatan pertama di kalangan 147 kerajaan tempatan di negara ini yang mempunyai jawatankuasa seumpama, bagi mewujudkan sistem penyampaian yang memuaskan hati rakyat. / Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com