20080908

Beza semangat 1957 dan 1974

Kegawatan politik yang kini menjadi salah satu cabaran Barisan Nasional (BN) sebenarnya menguji kesetiaan dan kefahaman parti-parti komponen gabungan itu.

Bagi parti yang sama-sama mengasaskan kerjasama itu di bawah lambang Kapal Layar atas nama PERIKATAN, sebarang ribut politik yang melanda ia dianggap sebagai permasalahan bersama yang perlu diselesaikan.

Bukan kali ini sahaja gelombang politik BN bergelora. Telah banyak kali. Pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan nasib politik UMNO pada ketika itu ’ditentukan’ kepada keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan sementara oleh Presiden MCA pada ketika itu, Tun Dr Ling Liong Sik.

Begitu juga halnya, semasa krisis besar melanda MCA, sejarah mencatatkan seorang anak Melayu daripada parti UMNO iaitu Allahyarham Tun Ghafar Baba menjadi Presiden sementara MCA.

Begitulah kukuhnya ikatan kerajasama antara parti yang sama-sama mengasaskan PERIKATAN sebelum ditukar menjadi BN pada tahun 1974 yang merangkumi kini 14 parti komponen.

Kini politik BN mengharungi ombak besar lagi selepas pilihan raya umum Mac 2008 lalu. Tuduh menuduh serta menyalahkan parti lain sebagai punca kemerosotan sokongan kepada BN dibuat secara terbuka.

GERAKAN yang menyertai BN pada tahun 1974 mengulangi pendirian parti itu akan menimbang semula kedudukannnya dalam BN jika ia tidak dapat memainkan peranan "yang bermakna" dalam perikatan itu.

Namun, MCA yang sama-sama mengasaskan PERIKATAN sejak sebelum merdeka lagi, menegaskan tidak ada sebab untuk parti itu keluar daripada BN.

Alasannya, MCA bukanlah ’orang luar’, sebaliknya bersama-sama UMNO dan MIC sebagai pengasas kepada pembentukan parti Perikatan yang kini dikenali sebagai BN.

“Maka sebab itu sekiranya terdapat sebarang masalah, kita perlu menyelesaikannya bersama-sama. Itulah semangat yang patut kita ada dan bukannya membangkitkan soal menarik diri daripada BN. Menarik diri tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya kepada para pemberita di Ipoh hari Ahad.

Menurut beliau, pada ketika ini perpaduan dalam kalangan parti komponen BN lebih penting daripada bercakaran sesama sendiri, apatah lagi dengan dakwaan pihak tertentu kerajaan BN akan ditumbangkan menjelang 16 September ini.

"Sebenarnya bukan orang lain yang akan menumbangkan kita sebaliknya kita (BN) sendiri yang akan menumbangkan diri kita. Kita perlu ambil pengajaran daripada perkara itu.

"Berhenti bergaduh, berhenti membangkitkan isuisu yang boleh melukakan hati pihak lain dan bekerjalah secara berpasukan mencakupi konteks rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya. – 7/9/2008


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com