Oleh Alan Ting
PERTARUNGAN sudah ditentukan pada hari terakhir pencalonan jawatan Pemuda dan Wanita MCA peringkat negeri malam ini dengan pemimpin kebangsaan meletakkan calon proksi untuk merebut jawatan bagi memastikan mereka menerima undi pada pemilihan parti 18 Okt ini.
Menjelang penutupan pencalonan jawatan Pemuda dan Wanita MCA di mana pengundian dijadual Sabtu ini, ia jelas bahawa peperangan proksi bakal menanti di seluruh negara.
Peperangan proksi ini tidak mengira negeri "kerdil" seperti Sabah yang hanya mempunyai 153 perwakilan bago pemilihan parti peringkat pusat yang akan dihadiri oleh sejumlah 2,188 perwakilan, Selangor mempunyai bilangan tertinggi perwakilan iaitu 409 orang dengan Perlis mempunyai bilangan paling sedikit iaitu 23 perwakilan.
Saingan oleh calon Pemuda dan Wanita peringkat negeri dijangka berpecah kepada dua kumpulan utama -- satu kumpulan yang disokong oleh kepimpinan yang sedia ada manakala satu lagi dikaitkan dengan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik -- dengan beberapa pihak kecil berkecuali atau pengundi atas pagar.
Menerajui cabaran pemilihan ialah anak sulung Dr Ling, Hee Leong, yang akan menentang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chendering Dr Mah Han Soon bagi jawatan Ketua Pemuda Perak.
Penyandangnya Datuk Tan Chin Meng tidak mempertahankan jawatan berikutan telah melepasi had umur 45 tahun bagi jawatan Pemuda.
Tetapi Hee Leong dan Tan dilaporkan telah menjalinkan pakatan bahawa calon yang tewas akan menyokong pemenang untuk sebarang jawatan utama di peringkat pusat sama ada peringkat kepimpinan atau sayap Pemuda.
Perlembagaan parti hanya membenarkan pemilihan wakil Pemuda dan Wanita negeri manakala jawatankuasa perhubungan negeri dilantik oleh presiden.
Keputusan pemilihan Pemuda dan Wanita negeri adalah penting bagi menentukan hasil pertandingan peringkat pusat.
Pada masa sama, pemilihan itu digunakan sebagai kayu pengukur sokongan yang diterima oleh pemimpin tertentu dalam negeri sendiri.
Penyandang Ketua Wanita Perak Chew Poh Thai, mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya.
"Dia tidak hadir. Saya tidak tahu sebabnya. Bukan sahaja itu, kumpulan saya juga menang jawatan lain tanpa bertanding," kata Heng ketika dihubungi hari ini.
Di Johor, pertanding sengit menunggu dengan calon yang berpuak dengan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting bersaing untuk merebut jawatan tertinggi dalam sayap Pemuda dan Wanita.
Ketua Bahagian Gelang Patah Jason Teoh, yang memihak Dr Chua, berdepan dengan ADUN Ledang Haw Chin Teck, yang disokong oleh penyokong Ong, bagi jawatan Ketua Pemuda negeri selepas penyandang Wee Jeck Seng tidak mempertahankan jawatan itu.
Wee, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, kini menumpukan jawatan Pemuda peringkat pusat dan dijangka bertanding sama ada jawatan Timbalan Ketua Pemuda atau dilantik sebagai setiausaha agung Pemuda MCA.
Pertandingan satu lawan satu juga dijangkakan untuk jawatan Ketua Wanita Johor dengan penyandang Tan Ah Eng, berpihak kepada kepimpinan pusat, berdepan dengan penyokong paling setia Dr Chua yang juga ADUN Yong Peng, Lim Kee Moi.
Di Selangor, timbalan ketua Pemuda Sheah Kok Fah, penyokong kuat Datuk Donald Lim Siang Chai, akan dicabar oleh setiausaha Pemuda negeri Dr Kow Cheong Wei bagi jawatan Ketua Pemuda. Dr Kow diketahui umum sebagai penyokong kuat presiden parti. Penyandang Ketua Pemuda negeri Wong Koon Moon tidak mahu bertanding semula ekoran syarat had umur.
Dalam sayap Wanita pula, penyandang pengerusi negeri Datin Paduka Chew Mei Fun berdepan dengan ketua bahagian Kelana Jaya yang baru dilantik Ong Chong Sian.
Chong Sian mencipta sejarah apabila menumpaskan ahli jawatankuasa pusat Datuk Lee Hwa Beng pada pemilihan bahagian itu baru-baru ini.
Walaupun ada gesaan dari bahagiannya, Petaling Jaya Utara, untuk menumpukan perhatian kepada pertandingan jawatan ketua wanita kebangsaan, Chew dikatakan tidak berganjak untuk mengekalkan jawatan ketua wanita negeri.
Perwakilan Pemuda dan Wanita pada pemilihan pusat adalah kira-kira 40 peratus dengan Pemuda 25 peratus manakala 15 peratus perwakilan terdiri dari sayap Wanita.
Bagaimanapun,sebahagian besar jumlah undi adalah dari tiga negeri terbesar -- Perak, Selangor dan Johor.
Selain tiga negeri itu, beberapa ketua Pemuda negeri seperti Hang Chin Peng (Wilayah Persekutuan), Chew Kok Wah (Sabah), Chin Wai Sang (Terengganu), Chua Keng Hua (Melaka), Foo Ming Chee (Negeri Sembilan) Boey Chin Gan (Kedah), Wee Keng Seng (Kelantan), Ooi Chuan Aik (Pulau Pinang) dan Teh Khai Ang dari Perlis tidak layak bertanding semula kerana had umur atau enggan bertanding semula.
Penyandang Ketua Pemuda kebangsaan Datuk Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita Dr Ng Yen Yen juga tidak bertanding semula kerana berhasrat bertanding jawatan penting parti di peringkat pusat.
Di Pahang, kedua-dua jawatan Ketua Pemuda dan Wanita dimenangi tanpa bertanding. Ketua Pemuda baru ialah Wong Yoke Loong, ketua pemuda bahagian Bera dan bekas naib pengerusi pemuda negeri manakala Ketua Wanita ialah Lian Nyet Yoong, yang juga ketua wanita bahagian Raub.
Di Sabah, Timbalan Ketua Pemuda Wilfred Yong Chen Leong menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda selepas pencalonan ditutup.
Yong, 35,, yang juga ketua pemuda bahagian Sepanggar, mengambil alih dari penyandang Chew Kok Woh, yang tidak layak bertanding berikutan syarat had umur.
Bagaimanapun, bekas Ketua Wanita Sabah Datuk Agnes Shim kembali semula selepas digantung selama tiga tahun. Shim digantung dari parti kerana didakwa terbabit dalam tindakan yang melanggar kepentingan calon MCA pada pilihan raya umum 2004.
Shim mengambil alh jawatan Ketua Wanita negeri dari Helen Mah, yang tidak bertanding semula.
Di Kuala Lumpur, jawatan ketua Pemuda akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara setiausaha Pemuda Chew Lian Keng, ketua Pemuda Bahagian Cheras Dr Toh Kian Kok dan Ling Yoke Hui.
Jawatan Ketua Wanita pula akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara ketua wanita bahagian Setiawangsa Chim Kim Moi dan ketua wanita bahagian Bandar Tun Razak Chang Seok Sin.
Di Kedah pula, jawatan ketua Pemuda akan menjadi rebutan antara tiga calon iaitu ketua Pemuda bahagian Jerai Tan Yee Yaw, timbalan ketua Pemuda Gan Poh Chai dan Ong Soon Boon.
Penyandang Boey Chin Gan tidak mempertahankan jawatan itu kerana dipercayai bersedia bertanding jawatan di peringkat pusat.
Dalam sayap Wanita pula, penyandang Datuk Lim Bee Kau menang tanpa bertanding.
Di Pulau Pinang, jawatan ketua Pemuda menyaksikan pertandingan empat penjuru antara ketua Pumda Bukit Mertajam Ng Hiap Boon, Ong Tang Chuan, Ng Siew Koon dan Lim Cheng Yang.
Bagaimanapun, jawatan ketua Wanita mendapat perhatian apabila penyandang Ooi Siew Khim ditentang oleh Tan Cheng Liang.
Spekulasi bertiup kencang bahawa jika Ooi berjaya mengekalkan jawatannya maka beliau besar kemungkinan bertanding jawatan utama Ketua Wanita pusat menentang timbalan ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.
Bagaimanun, bagi negeri lain, kebanyakan jawatan peringkat negeri dimenangi tanpa bertanding.
Di Perlis, ketua cawangan Pauh, Kelvin Teo Hua Cheng menang jawatan ketua Pemuda tanpa bertanding manakala penyandang ketua Wanita juga mengekalkan jawatan dengan cara yang sama.
Pengerusi Pemuda bahagian Alor Gajah Ngee Hee Sem menang jawatan Ketua Pemuda Melaka tanpa bertanding manakala Datuk Kian Sit Har mengekalkan jawatan ketua wanita tanpa bertanding.
Kian memegang jawatan itu sejak 1995 manakala penyandang ketua Pemuda Chua Kheng Hua tidak bertanding semula kali ini.
Di Terengganu, jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita dimenangi tanpa bertanding masing-masing oleh Toh Seng Cheng dan See Meng Geow.
Di Kelantan, jawatan ketua Pemuda dimenangi tanpa bertanding oleh Gan Han Chuan selepas penyandang Wee Keng Seng tidak bertanding semula manakala Lee Liew Lo mengekalkan jawatan ketua Wanita tanpa bertanding.
Keadaan sama wujud di Negeri Sembilan dengan Wong Kim Loong mengekalkan jawatan ketua Pemuda manakala Datuk Lee Pek Chin pula jawatan ketua Wanita. / BERNAMA
No comments:
Post a Comment