20080921

Hishammuddin nafi minta segera pelan

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Laporan akhbar hanya kelirukan orang ramai

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan laporan sebuah akhbar tempatan semalam mendakwa ada anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mahukan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara dilakukan lebih awal daripada tarikh dipersetujui sebelum ini sebagai tidak tepat.

Katanya, laporan itu mengelirukan orang ramai kerana semua anggota MT berpegang kepada amanah tidak akan membocorkan rahsia dan beliau tidak fikir laporan akhbar itu memberi gambaran sebenar apa yang berlaku dalam mesyuarat tertutup itu.

"Biar apa pun yang dibicarakan dalam mesyuarat MT Umno, keputusan muktamad yang dibuat sebulat suara harus menjadi pegangan. Jika tidak asas parti kita akan terjejas.

"Sebagai pucuk pimpinan tertinggi, MT harus mendengar suara akar umbi sebelum membuat keputusan kerana pendirian MT tidak ada maknanya jika tiada sokongan daripada penyokong parti ada peringkat akar umbi.

"Pemuda Umno, tetap menyokong pelan peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum ini, iaitu Datuk Seri Najib Razak akan mengambil alih jawatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010," katanya pada sidang media selepas Majlis Sinar Ramadan anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di sini semalam.

Semalam, sebuah akhbar bahasa Inggeris melaporkan bahawa ada di kalangan anggota MT Umno menasihatkan Perdana Menteri berundur sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober ini, iaitu lebih awal daripada rancangan peralihan kuasa pada 2010.

Akhbar itu memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang juga anggota MT, bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendengar nasihat terbabit dengan teliti sebelum meminta diberi masa untuk berbincang dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan sama mendedahkan bahawa dalam perjumpaan tertutup itu lima anggota MT bercakap mengenai isu itu, termasuk empat yang menasihatkan keperluan peralihan kuasa lebih awal, sebaik-baiknya sebelum Disember ini apabila Perhimpunan Agung Umno diadakan.

Akhbar terbabit juga mengaitkan Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, sebagai empat anggota MT terbabit.

Kata Hishammuddin, walaupun landskap politik negara dan keadaan ekonomi sejagat agak terjejas, Umno perlu teruskan perjuangan bagi membela nasib bangsa, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana ada pihak cuba memecah belahkan orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib semalam menafikan wujud tekanan daripada ahli MT parti supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan presiden lebih awal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata: "Tidak ada apa-apa tekanan kepada Pak Lah, tidak ada perkara seperti itu dalam mesyuarat MT."

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Annuar Musa menafikan ada desakan terhadap Abdullah supaya berundur lebih awal daripada pelan peralihan kuasa yang ditetapkan sebelum ini.

"Isu peralihan kuasa ini dibangkitkan beberapa anggota MT hanya pada penghabisan mesyuarat, termasuk Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjelaskan kenyataannya sebelum ini berhubung tempoh untuk peralihan kuasa itu dan meminta maaf sekiranya apa yang dibangkitkan menyinggung perasaan sesiapa.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com