20080908

Pergi kosong, balik hampas…

Sekarang, satu Negara sibuk mengenai politik khususnya UMNO yang sedang melaksanakan persidangan tahunan di peringkat cawangan. Walaupun baru di peringkat cawangan, bahangnya terbawa dan terasa ke peringkat tertinggi iaitu Majlis Tertinggi parti.


Manakan tidak terasa, pemimpin yang hendak bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti haruslah mempunyai sokongan dan kedudukan di peringkat bawahan dahulu. Jika dahulu, politik wang dikaitkan dengan pemilihan di peringkat MT dan bahagian sehingga ada tokoh yang dipecat, digantung dan juga diberi amaran keras, kini kedengaran desas-desus mengenai permainan wang yang sama di peringkat cawangan.


Benar atau tidak desas-desus itu kita serahkan kepada parti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan. Bagi yang disiasat oleh pihak berkuasa pula, kita tunggukan juga hasilnya.

Saya serba salah mahu menyatakan mengenai peristiwa yang saya sendiri alami bersama puluhan rakan lain yang cuba membanteras gejala politik wang. Fikir punyai fikir, akhirnya saya catatkan juga dengan harapan UMNO boleh mencari kaedah lebih baik untuk menyiasat dan mengadili aduan yang dibuat supaya pengadu tidak serik untuk membuat aduan pada masa akan datang.


Jika mengikut kaedah yang diamalkan, nampaknya, ahli-ahli akan terus gunakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) daripada mengadu kepada UMNO sendiri.


Kami pernah dipanggil oleh Jawatankuasa Penyiasat di bawah Lembaga Disiplin parti kerana membuat laporan mengenai politik wang yang berleluasa di bahagian UMNO tempat saya bernaung dahulu iaitu Hulu Langat.


Aduan mengenai seseorang yang ‘huloq’ duit kepada perwakilan. Ada pihak yang mengadu kepada BPR. Perbuatan ‘huloq’ dirakamkan dan rakaman itu diserahkan kepada BPR.

BPR jalankan siasatan sendiri dan segala rakaman sebagai bukti diserahkan kepada pegawainya yang mengendalikan kes tersebut.


Jadi, apabila kami dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin untuk membuktikan dakwaan berkenaan, kami sudah tidak punyai bukti lagi. Kami tidak pula dibolehkan mendapatkan rakaman kerana tarikh perbiacaraan telah ditetapkan dan masanya tidak boleh dipinda.


Jadi pergilah kami ke ‘mahkamah parti’ dennan tangan kosong dan mendengar celoteh ‘hakim-hakim’ sahaja.


Proses perbicaraan tidak menggunakan pegawai pendakwa. Peguambelapun tak ada. Yang ada hanyalah hakim-hakim berpengalaman yang dengan senang sekali mematahkan hujah atau kenyataan kami.


Akhirnya semua ahli yang dipanggil untuk perbicaraan itu kalah di tangan hakim, bukan di tangan pendakwa.

Kami pulang dengan hati yang hampa walaupun sebelum itu semua orang berkobar-kobar untuk menmatkan riwayat politik seseorang yang bermain politik wang. Pergi kosong, balik hampas… itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan kami.


Selepas itu, apabila berlaku pemilian di peringkat bahagian sekali lagi, tidak ada sesiapapun yang membuat aduan mengenai politik wang walaupun wang terus dipolitikkan.

Malah, saya sudah dua penggal di luar Dewan Parlimen, namun tokoh yang diadukan kepada Lembaga Disipilin itu hanya berehat satu penggal dan kembali bergelar YB melalui pilihanraya umum 8 Mac lalu melalui parti lain.


Semasa menjadi wartawan dahulu, saya berada di UMNO Bahagian Sepang walaupun cawangan saya di Bangi. Kini masih di Bangi, tetapi bahagian berada di Bahagian Serdang pula. Begitulah nasib cawangan-cawangan yang berada dalam kawasan Bangi – akan bertukar kawasan Parlimen setiap kali ada proses persempadanan semula. Pada masa akan datang, entah kemana pula kami agaknya, mungkinkah Bangi menjadi kawasan Parlimen.


Semasa di Sepang, merasa juga melalui proses berkempen. Ketika itu, ketua Bahagian adalah Ybhg. Datuk Sharif Jajang. Beliau dicabar oleh seorang ahli akademik, Dr. Hamdan Yahya.

Ketika itu saya tidak berapa kenal dengan Dr. Hamdan tetapi abangnya Dr. Hamzaid adalah pensyarah saya. Abang saya pula pernah sepejabat dengan Dr. Hamdan dan kami tinggal berdekatan.


Saya, ketika itu menjadi ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian. Bersama-sama dua orang lagi ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian, kami adalah kumpulan yang ‘tidak berapa diingini’ oleh kepimpinan bahagian ketika itu.


Digelarkan sebagai 3 Stoogers ketika itu, kami dilabelkan sebagai orang muda yang mahu naik cepat menggunakan lif dan tidak mengikut tangga. Entah kenapa kami dilabelkan begitu, kamipun tidak tahu, tetapi melalui satu ucapan ketua bahagian di suatu majlis, fahamlah kami puncanya iaitu semata-mata kerana kami memegang segulung ijazah.


Rupa-rupanya, ijazah atau pendidikan tinggi adalah masalah besar di bahagian-bahagian UMNO.


Demikian jugalah rupa-rupanya yang terjadi kepada seorang siswazah kedoktoran bernama Mohd. Khir bin Toyo. Beliau tidak diterima menjadi ahli parti di kampung halamannya di Tanjung Karang.


Beliau juga pernah mencuba nasib di Hulu Langat kerana beliau membuka klinik dan tinggal di Kajang. Namun, nasib tidak juga menyebelahi beliau. Akhirnya beliau menjadi ahli di Taiping, di kampung halaman isterinya.


Terkemudian daripada itu, apabila arus kepimpinan di Tanjung Karang berubah, barulah beliau merasa menjadi ahli di bahagian itu.


Berbalik kepada suasana di Sepang. Oleh kerana tidak berapa diterima oleh kepimpinan bahagian, mahu tak mahu, saya masuk kem Dr. Hamdan walaupun saya amat mengetahui terlalu sukar untuk ‘mencuit’ Datuk Sharif Jajang yang telah bertapak begitu lama di Sepang.


Salah satu cara kempen ketika itu ialah membawa parfa perwakilan ke majlis-majlis tertentu seperti motivasi dan lawatan. Sebagai salah seorang perwakilan, saya dibawa ke sebuah hotel berdekaan Pudu untuk ‘kursus’ bersama-sama sebahagian daaripada perwakilan lain.


Sampai di hotel, berjumpalah dengan beberapa orang rakan lain yang dikenali dan perwakilan lain yang belum dikenali. ‘Kursus’ itu telah membuatkan kami semakin mesra.


Kursus itu diadakan tiga hari sebelum Mesyuarat Bahagian. Pada malam terakhir iaitu kira-kira 18 jam sebelum bermulanya mesyuarat keesokannya, peserta kursus tiba-tiba berkurangan. Tanya punya tanya, rupa-rupanya mereka telah berhijrah ke Genting Highlands – peranginan dingin yang mahu dipanaskan!


Ada wakil ‘tauke’ satu lagi yang bawa mereka ke situ. Di situ rupa-rupanya lebih ramai perwakilan yang berkumpul. Di Genting, tentulah lebih seronok dibandingkan dengan di Pudu, Kuala Lumpur.


“Terkayu’ Dr. Hamdan dibuatnya, kami yang tidak dipelawa ke Genting Highlands pun melopong je……

Esoknya, hari penentuan. Pagi-pagi lagi dah bersiap untuk ke mesyuarat bahagian. Sampai di lokasi mesyuarat, bukan mudah untuk masuk… Pintu pagar ditutup dan ada puluhan ‘komando’ parti yang menunggu di situ…..


Saya adalah salah seorang yang tidak masuk ke dewan persidangan… jadi saya tidak tahu apa yang berlaku di depan dan di dalam dewan itu. UMNO oh UMNO.- 7/9/2008


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com