20080905

Usah politikkan tarikh 16 September

KL: Pemberian cuti umum pada tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia pada 16 September tidak wajar dipolitikkan bagi tujuan meraih undi rakyat, menurut seorang tokoh sejarah.

Tokoh sejarah itu, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, dipetik satu laporan akhbar Utusan Malaysia semalam sebagai berkata rakyat Malaysia terlebih dahulu perlu difahamkan daripada segi faktor sejarah mengenai kewajaran cuti umum diberikan pada tarikh tersebut.

'Tarikh 16 September boleh diberi cuti umum tetapi rakyat Malaysia perlu diberi pemahaman mengapa tarikh itu dipilih.

'Mereka mesti dijelaskan agar tidak ada yang salah faham. Saya harap ia dilakukan bukan kerana hendak dapat undi,' kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Ahad lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencadangkan pimpinan pembangkang di lima negeri mengisytiharkan 16 September ini sebagai cuti umum.

Datuk Seri Anwar berkata cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah, sama seperti 31 Ogos.

Namun, cadangan itu telah mengundang pelbagai reaksi.

Prof Kay Kim berkata 16 September 1963 merupakan hari pengisytiharan Malaysia dan juga hari kemerdekaan Sabah dan Sarawak daripada jajahan Britian, manakala 31 Ogos 1957 pula merupakan tarikh Tanah Melayu dibentuk.

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri itu akan menimbang cadangan penasihat Datuk Seri Anwar itu.

'Perkara ini akan dibincangkan dulu dengan exco kerajaan negeri kerana ia akan melibatkan operasi pihak industri di negeri ini,' kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kepada pemberita selepas satu ceramah umum di Pasar Awam Tanjung Bungah, kelmarin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula semalam dipetik agensi berita Bernama sebagai berkata kerajaan negerinya bersetuju dengan cadangan 16 September dijadikan hari cuti umum.

Menurutnya, cadangan itu sepatutnya diterima dan dilaksanakan di lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), bagaimanapun, tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Presidennya, Omar Osman, berkata ia akan menyulitkan pelanggan di negeri terbabit yang hendak berurusan dengan kerajaan Persekutuan. / BHS

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com