20080908

Mukhriz nak rebut jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan slogan ‘ Berani Berubah’


Penyandang undi terbanyak jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir tidak mahu menang tanpa bertanding dalam usahanya menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Disember ini.

Beliau yang mengumumkan secara rasmi untuk bertanding jawatan itu pada petang Sabtu di perkarangan rumah keluarganya, Pondok Maharizan, Titi Gajah, Alor Setar.

Mukhriz, 44 beranggapan bahawa menang tanpa tanding itu tidak 'gentleman' dan tidak 'jantan' disamping mengakui bahawa kekalahan akan ada hikmahnya.

"Saya pernah rasa kekalahan, saya faham apa rasa dan ertinya kalah," tambahnya.

Dalam sidang media, ketika ditanya samada beliau mahu dan bersedia untuk 'berlumba' dengan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin Datuk Abu Bakar, beliau berkata, "saya dengar sebelum ini beliau berhajat untuk bertanding dan kita menanti-nantikan pengumuman rasminya dan saya sedia berhadapan dengan beliau."

Beliau juga mengumumkan, sekiranya dipilih untuk pegang jawatan itu, tidak akan diberi sebarang jawatan dalam kerajaan kerana ingin member tumpuan sepenuh masa pada pemuda terutama dalam mengembalikan semula martabat UMNO khususnya dikalangan orang muda.




Berhubung jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mukhriz menganggap kali ini sebagai 'cari sakit' kerana keadaan parti yang amat tercalar dan kalah pada lima negeri dan Wilayah Persekutuan disamping tidak dapat pertahankan kedudukan dua pertiga dalam Parlimen.

"Tugas untuk kembalikan sokongan rakyat pada parti bukan mudah, jangan fikir untuk kayakan diri, nak glamour dan nak cari imbuhan," katanya.

Beliau seterusnya mengharapkan semua pemimpin dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO peringkat bahagian berani menyatakan perubahan sejajar dengan tema dan manifestonya 'Berani Berubah' terutama dalam soal pencalonan dan pemilihan pemimpin.

Mengenai politik wang, Mukhriz mahu amalan tersebut ditolak dan menganggap pengamalnya sebagai tidak faham serta tidak berpegang pada perjuangan parti.

Tambahnya, "sekiranya tidak tolak pengamal politik wang ini, tidak kira siapa menang dalam 'perlumbaan' ini, rakyat akan tolak parti kita dalam pilihan raya umum akan datang."




Sebelum itu, Mukhriz membariskan empat perkara penting dalam usahanya meraihkan sokongan bagi menduduki kerusi itu iaitu membuka ruang seluas-luasnya keahlian pemuda dalam UMNO, member suntikan semangat perjuangan orang Melayu dikalangan generasi muda, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat akar umbi terutama kehendak golongan muda dan menentukan hala tuju parti mengikut kehendak golongan muda hari ini.

Semasa berucap di depan hampir 500 orang termasuk beberapa Exco Pemuda UMNO Malaysia, beberapa orang Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, wakil-wakil Pemuda dan para penyokong yang datang dari seluruh negara, Mukhriz mahu ahli-ahli pemuda mengembalikan kegemilangan parti yang kini berdepan dengan krisis keyakinan yang dihasilkan daripada krisis kepimpinan.

"Generasi muda hari ini sebenarnya semakin bimbang kerana krisis keyakinan bukan sahaja berlaku dalam UMNO tetapi telah menular dikalangan rakan-rakan seperjuangan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN)," tambahnya.

"Kita perlu kembali pada perjuangan asal UMNO dan BN dengan sanggup buat perubahan yang mampu mengembalikan keyakinan semula orang Melayu secara khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhan, kita juga perlu bersihkan diri dari sifat terkeji, mesti amanah, jujur, cakap benar, menepati masa dan ikhlas dalam perjuangan," ujarnya.

Antara pemimpin hadir Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sazmi Miah, Kamaruzzaman Kamdias, Azizul Nizam Bidin, Marzuki Yahya, tokoh veteran UMNO Tan Sri Khalid Abdullah dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Haji Ismail Taib yang bertindak sebagai pengacara majlis.- 6/9/2008


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com