20080921

Politik Anwar bahaya

Oleh Norfatimah Ahmad dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my




Sentimen Cina, India cetus keresahan kaum

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memainkan sentimen amat berbahaya dengan menimbulkan pelbagai isu berbentuk spekulasi seolah-olah melakukan 'tawar-menawar' dengan masyarakat Cina dan India untuk meraih simpati bagi mencapai impiannya untuk berkuasa.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan lepas satu isu satu isu lain, macam dalam drama, plot demi plot, sedangkan semua itu hanya spekulasi politik.

"Anwar meraih simpati undi Cina dan India untuk berkuasa. Ini mengakibatkan wujud salah interpretasi mengenai hak kaum. Semua kaum seharusnya mematuhi hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan kerana perkara itu sudah dipersetujui ketika kemerdekaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak terpengaruh dengan slogan politik Anwar yang memainkan sentimen orang Cina dan India supaya meruntuhkan keharmonian serta kemakmuran yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Rakyat perlu kembali kepada semangat kerjasama kaum ketika Perlembagaan Persekutuan digubal. Kita tidak boleh pinda Perlembagaan ikut alunan macam turun naik ombak kerana yang akan jadi mangsa adalah rakyat dan kestabilan negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas menyampaikan cek berjumlah RM18.25 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk elaun 2,300 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Bangi, Selangor.

Katanya, berikutan sentimen yang dimainkan Anwar itu, wujud persepsi rakyat bahawa kerajaan BN lemah, sedangkan BN sudah mentadbir dengan baik.

"Kalau BN benar-benar lemah, keadaan kewangan tidak stabil dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak cekap mentadbir negara, bagaimana kerajaan boleh mengumumkan bajet yang begitu pemurah dan menyenangkan tahun demi tahun sejak 2004?" katanya.

Muhammad juga menafikan wujud tekanan daripada Ahli Majlis Tertinggi (MT) supaya Abdullah melepaskan jawatan Presiden Umno lebih awal.

"Tidak ada apa-apa tekanan kepada Pak Lah, tiada perkara seperti itu dalam mesyuarat MT. Seperti mesyuarat MT lalu, mereka memberikan pelbagai cadangan supaya Abdullah perbetulkan satu atau dua perkara berkaitan perjalanan parti untuk memperkasakan lagi parti.

"Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak akan mematuhi pelan peralihan kepemimpinan parti yang dipersetujui pada 2010," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ada pihak tertentu yang baling batu, sembunyi tangan dengan cuba menggunakan blog, internet dan media bagi mempengaruhi pandangan umum bagaimana pelan peralihan kepemimpinan itu patut dilakukan, sedangkan kaedah pelaksanaannya sudah dipersetujui bersama antara kedua-dua pemimpin itu pada 2010.

"Mereka nak guna blog dan internet untuk ajar kita mengenai peralihan kepemimpinan dan kuasa. Sangat malang kerana kebanyakan rakyat terlalu mempercayai kandungan bahan dalam blog sedangkan di Amerika Syarikat, rakyat negara itu menyiasat dulu butiran dalam blog dan tidak mempercayai bulat-bulat apa yang ditulis dalam blog," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, berkata Anwar jelas bermain sandiwara selama ini yang bukan saja menggugat hubungan kaum, malah menjejaskan ekonomi negara.

"Permainan politik Anwar sangat bahaya dan tidak bertanggungjawab. Saya minta orang ramai terutama masyarakat India tidak terpengaruh dengan pembohongan beliau," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin sokongan masyarakat India terhadap BN akan terus kukuh dan segala tembelang Anwar akan terbongkar.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, berkata cara politik yang berbaur perkauman sangat berbahaya terutama di Malaysia yang memiliki rakyat majmuk.

"Anwar terus menerus menggugat keamanan negara dan bermain dengan emosi rakyat.

Beliau terus menerus mengeruhkan suasana politik. Pembangkang yang diketuai Anwar akan mempolitikkan apa saja isu yang ada demi kepentingan agenda politik mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com