20080905

Defisit besar Malaysia semakin membimbangkan

DEFISIT belanjawan Malaysia yang semakin besar merupakan satu perkara yang amat membimbangkan, kata agensi penilaian Standard & Poor's.

Menurut S&P, ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah tekanan pembangkang yang dijangka memaksa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meningkatkan perbelanjaan bagi mendapatkan sokongan.

'Kedudukan kewangan Malaysia adalah lebih teruk berbanding misalnya setengah tahun lalu,' kata Pengarah Penilaian (S&P) di Singapura, Takahira Ogawa, dalam satu interviu dengan agensi Bloomberg semalam.

'Penyusunan semula kedudukan kewangan Malaysia agak perlahan. Jika saiz defisit besar dan tidak dapat disusun semula dalam jangka masa sederhana, ia akan membawa kepada lebih banyak masalah,' ujar beliau lagi.

Pada 29 Ogos lalu, Datuk Seri Abdullah berkata kerajaan Malaysia akan menghadapi defisit terbesar sejak 2003 tahun ini, dan merancang mengurangkan cukai dan meningkatkan perbelanjaan dalam 2009.

Jurang belanjawan Malaysia akan membesar kepada 4.8 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) berbanding dengan 3.2 peratus dalam 2007, kata Datuk Seri Abdulah, dalam belanjawannya yang diumumkan Jumaat lalu.

Menurut beliau, langkah-langkah belanjawan itu mungkin dilakarkan bagi menarik sokongan rakyat.

'Dengan keadaan politik di Malaysia, mereka perlu menumpukan perhatian kepada keprihatinan segera rakyat ketika ini berbanding dengan memperkenalkan dasar-dasar yang mungkin tidak popular bagi menghadapi pertumbuhan jangka panjang ekonomi,' ujarnya lagi. / Bloomberg, BHS

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com