PENGERUSI Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan tetapi enggan mengulas spekulasi Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat.
"PKR Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya kepada mStar Online.
Beliau menyatakan demikian sehari selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara semalam.
Malah pada Khamis lalu, seramai enam wakil rakyat dari Sarawak sudah menemui Anwar iaitu pada petang selepa bekas Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.
Menurut beliau, sehingga hari ini hampir 30 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak dan Sabah telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.
"Keseluruhan dari kedua-dua negeri ialah hampir 30 orang. Dari Sarawak saja kita ada lebih 10 orang yang akan lompat menyertai kita membentuk kerajaan baru pada 16 September nanti," kata beliau.
Ketika ditanya sejauh mana benarnya desas-desus bahawa Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa akan menyertai Pakatan, beliau berkata: "Maaf jangan tanya saya mengenai hal itu. Tiada komen."
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan memberitahu telah menemui kesemua Ahli Parlimen yang dimaksudkannya bagi mengadakan perbincangan mengenai hasrat menyertai Pakatan Rakyat.
"Sudah pastilah saya sudah menemui mereka, tapi siapakah mereka itu tak bolehlah saya dedahkan sekarang. Anda mesti tunggu 16 September ini jika ingin mengetahuinya," katanya.
Ditanya apakah faktor yang mendorong Ahli Parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, beliau berkata, perkara itu adalah berdasarkan prinsip yang didokong pakatan itu.
"Mereka sudah sedar bahawa hanya Pakatan Rakyat sahaja yang boleh membela nasib rakyat terutamanya soal memberi perhatian yang lebih baik kepada rakyat di Sarawak dan Sabah yang lebih 10 tahun ketinggalan di belakang," katanya.
Dominique juga menjelaskan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjanjikan pembelaan yang sewajarnya kepada mereka.
"Datuk Seri Anwar berjanji akan memberikan layanan yang sama rata kepada kami. Tidak seperti apa yang diamalkan oleh kerajaan BN sekarang," katanya.
Selain itu, beliau juga yakin setelah kerajaan Persekutuan berjaya diambil alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat, kerajaan negeri Sarawak akan mengikut jejak langkah yang sama.
"Jangan risau, setelah peringkat pusat kita berjaya kuasai, perkara yang sama juga akan berlaku pada pentadbiran kerajaan negeri Sarawak," katanya.
Beliau juga memberitahu Anwar akan mengadakan lawatan ke Sarawak pada bulan ini, namun tarikhnya masih belum ditentukan.
Sementara itu Bernama melaporkan kerajaan Sabah yang dipilih menerusi mandat rakyat tetap kukuh dan tidak akan terjejas dengan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Katanya, masa berpolitik dan berkempen telah berakhir dan masa sekarang sepatutnya untuk bekerja bagi kepentingan rakyat.
"Tidak perlulah kita asyik berpolitik, apatah lagi membuang masa dengan isu melompat, isu kerajaan baru pada 16 Sept, atau isu remeh-temeh politik yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Terlalu banyak dakyah dan isu politik yang hanya akan melalaikan kita, di samping kita membuang masa yang sepatutnya kita manfaatkan untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat.
"Masa untuk berpolitik dan berkempen telah berakhir. Sekarang masa untuk kita terus bekerja, bersatu padu dan menunaikan janji bagi memenuhi mandat ke arah memajukan negeri dan negara demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di sini.
Majlis dianjurkan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.
Musa berkata mandat besar Sabah kepada kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu merupakan amanah yang wajib dipikul dengan jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.
"Dalam hal ini, kerjasama padu di semua peringkat, khususnya antara pemimpin dengan para penjawat awam, iaitu antara golongan penggubal dengan pelaksana dasar-dasar kerajaan, akan terus diperkukuhkan.
"Ini bagi memastikan kejayaan terhadap pelaksanaan program-program pembangunan seperti Rancangan Malaysia Kesembilan dan Koridor Pembangunan Sabah," katanya.
Musa juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Kewangan, atas pembentangan Bajet 2009 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, terutamanya di Sabah, dan memastikan pembangunan negara berterusan.
"Sesungguhnya, semua ini jelas membuktikan keikhlasan, keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan pusat, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sabah.
"Ia juga sekaligus menggambarkan bahawa kerajaan pusat sememangnya sentiasa memberikan perhatian yang serius untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sabah, sejak dulu, kini dan selamanya," tambahnya. / Mstar, Bernama
"PKR Sarawak sangat yakin" Dominique Ng
No comments:
Post a Comment