20090421

Timbalan ketua balai polis, pasangan disiasat khalwat

BUTTERWORTH: Seorang timbalan ketua balai polis berpangkat sarjan ditahan kerana disyaki berkelakuan kurang sopan bersama teman wanitanya di dalam kereta di tepi pantai Bagan Ajam di sini, semalam.

Sarjan berusia 40-an yang bertugas di Kedah, ditahan bersama wanita berusia 43 tahun itu pada jam 12.40 tengah malam kelmarin dalam Ops Maksiat yang dijalankan secara bersama oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) dan polis.

Ketika serbuan dilakukan, anggota berkenaan dan pasangannya yang juga seorang guru sekolah menengah di Sungai Petani, berselimut di tempat duduk bahagian depan dalam kereta.

Ketua Unit Operasi Jaipp, Khairul Azman Azizan, berkata apabila cermin kereta itu diketuk untuk pemeriksaan, sarjan itu mengaku dia seorang ketua balai tetapi enggan menunjukkan kad pengenalan diri.

Katanya, anggota polis itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan Jaipp, enggan bekerjasama, sebaliknya menuduh penguat kuasa agama berkenaan menganiayanya.

Selepas hampir 40 minit penguat kuasa Jaipp memujuk lelaki itu supaya bekerjasama tetapi gagal, mereka meminta bantuan seorang pegawai trafik Butterworth.

“Seorang pegawai trafik yang tiba di tempat kejadian juga gagal memujuk lelaki itu supaya bekerjasama. Berikutan itu, anggota polis berkenaan dan pasangannya dibawa ke Balai Polis Trafik Butterworth,” katanya.

Ketika berada di balai itu, anggota polis terbabit terus berdegil dan enggan bekerjasama, sebaliknya terus mempertikaikan tindakan Jaipp dan keadaan itu berlarutan sehingga jam 5 pagi semalam.

Khairul Azman berkata, hanya selepas campur tangan seorang lagi pegawai dari Balai Polis Butterworth, anggota berkenaan mengalah dan akur dengan tindakan Jaipp.

Berikutan itu, beliau dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk membolehkan Jaipp membuat laporan polis terhadapnya berhubung tangkapan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkelakuan kurang sopan di tempat awam.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 19 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 2004 kerana enggan memberi nama dan alamat kepada pegawai penguat kuasa agama. -- KOSMO

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com