20090402

Beri sokongan penuh – PM


ABDULLAH Ahmad Badawi bergambar bersama jemaah menteri sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir di Putrajaya, semalam. – BERNAMA


PUTRAJAYA 1 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua menteri Kabinet memberi sokongan penuh kepada bakal penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui kepimpinan negara.

Dalam amanat ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhirnya pagi ini, Perdana Menteri turut berpesan agar segala polisi dan dasar yang telah diatur semasa pemerintahan beliau diteruskan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Najib selaku Timbalan Perdana Menteri mengambil kesempatan memberi setinggi-tinggi penghormatan kepada Abdullah atas sumbangan besarnya kepada negara.

Beliau berkata, Abdullah dalam amanatnya turut menekankan apa yang harus dilakukan oleh jemaah menteri berkenaan dengan kedudukan anggota jemaah menteri yang mempunyai tanggungjawab bersama.

“Jika dasar-dasar yang sudah ada diputuskan, sebagai kerajaan kita teruskan. Walaupun begitu, Najib sebagai Perdana Menteri tentu akan membuat pengubahsuaian atau mana-mana yang perlu dilakukan, itu terserah kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Pejabat Perdana Menteri selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri mengharapkan segala idea dan program yang diusahakan dapat disambung demi kebaikan rakyat dan negara.

“Pak Lah mengharapkan kesinambungan daripada dasar-dasar yang dahulu terutamanya suruhanjaya-suruhanjaya yang telah dibentuk. Ini perubahan-perubahan yang beliau harapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Perdana Menteri mengharapkan perpaduan masyarakat majmuk dapat diperkukuhkan berasaskan kepada perkara-perkara tunjang pembinaan bangsa negara.

“Saya setuju isu-isu ini penting dan perlu diperkukuhkan di bangku sekolah lagi seperti kesetiaan kepada negara, kesatuan, perpaduan dan toleransi agama.

“Semua ini begitu penting untuk Pak Lah yang kebelakangan ini digembar-gemburkan dan ditimbulkan dalam landskap politik kebencian, ia perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh pemimpin yang akan mewarisi tanggungjawab nanti,” katanya.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Abdullah bagaimanapun memberi penekanan tidak akan campur tangan dalam barisan Kabinet baru yang bakal diterajui oleh Datuk Seri Najib.

“Pak Lah berkata beliau tidak akan melibatkan diri atau mencampur tangan dalam perbincangan Kabinet baru nanti tetapi sedia memberi nasihat,” katanya.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula berkata, Abdullah berharap semua jemaah menteri dapat menunaikan tanggungjawab dan meneruskan dasar-dasar yang telah beliau laksanakan.

“Beliau sebut apa yang harus dilakukan dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana telah memberi ruang dan peluang untuk berkhidmat bersama beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, rakyat sepatutnya berbangga kerana peralihan kuasa tidak dibuat melalui demonstrasi jalanan, rampasan kuasa atau cara yang hiruk-pikuk.

“Kita menerima hakikat bahawa kuasa adalah amanah yang berterusan di mana apabila seseorang melepaskan kuasa, ia akan disambung oleh orang lain dan ia disambut dengan baik.

“Ini menggambarkan proses transisi yang licin serta begitu baik dan sepatutnya rakyat Malaysia berbangga kerana perubahan kuasa di negara kita berjalan dengan sopan, bertamadun dan licin sekali,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar pula menyifatkan perjalanan mesyuarat Kabinet hari ini berlangsung dalam suasana yang mesra.

“Mesyuarat tadi berlangsung dalam keadaan mesra dan semangat yang cukup baik,” katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com