20090402

BN perlu kerja keras - Najib

PUTRAJAYA 1 April - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang memenangi ketiga-tiga pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan DUN Batang Air pada 7 April ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera pilihan raya BN perlu bekerja lebih keras lagi bagi memastikan ketiga-tiga kerusi itu menjadi milik BN.

"Kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan beri tentangan sengit dan mempunyai harapan cerah untuk menang," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan pakej rangsangan ekonomi bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di sini hari ini.

Ditanya isu-isu yang bakal dimainkan oleh pihak pembangkang, Najib memberitahu, banyak yang boleh ditimbulkan.

Katanya, apa yang penting adalah rakyat mesti merasakan bahawa BN merupakan kerajaan yang mampu berkhidmat kepada mereka.

Ketika diminta mengulas mengenai beberapa pemimpin tinggi UMNO yang kini disiasat ekoran aduan politik wang menjelang Perhimpunan Agung parti minggu lepas, Najib berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk tindakan sewajarnya apatah lagi ia masih di peringkat siasatan.

"Kita tak boleh buat apa-apa kesimpulan. Saya serah kepada Lembaga Disiplin parti harap mereka dapat buat tindakan wajar," ujarnya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com