20090501

Ma Tzu: Mahkamah Rayuan perintah penggantungan saman sivil

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengeluarkan perintah penggantungan prosiding saman sivil yang difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat, terhadap kerajaan Sabah berikutan pembatalan kelulusan pembinaan patung Buddha Ma Tzu di Kudat, dua tahun lalu.

Panel hakim Datuk Abdull Hamid Embong, Datuk Hassan Lah dan Datuk Abdul Malik Ishak membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili defendan, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dan peguam Ansari Abdullah bagi Chong, selaku responden.

Berikutan perintah itu, perbicaraan yang bermula 12 Januari lalu dan disambung Isnin ini, ditangguhkan sehingga rayuan pihak defendan (pemohon) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan permohonan menolak saman Chong didengar.

Pada 6 Februari tahun lalu, Chong yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Thean Hou, Kudat, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dengan menamakan Musa sebagai defendan pertama, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K Y Mustafa, sebagai defendan kedua.

Beliau juga menamakan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ujang Sulani, sebagai defendan ketiga dan Lembaga Perbandaran Kudat sebagai defendan keempat.

Pada 21 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman itu serta permohonan memperoleh perintah penggantungan prosiding sementara menunggu rayuan didengar.

Chong mendakwa, Setiausaha Eksekutif Lembaga Perbandaran Kudat telah mengeluarkan sepucuk surat kepadanya pada 25 Mei 2006 dengan mengarahkan supaya kerja membina patung itu diberhentikan sementara menunggu kelulusan dan arahan lanjut Musa.

Chong, 61, mendakwa surat itu menyatakan perintah menghentikan kerja itu adalah atas alasan bahawa tapak projek itu berdekatan dengan Masjid Asy-Syarikin di Kudat dan pelbagai pihak telah membantah pembinaan patung itu di situ.

Beliau mendakwa pada 23 Jun 2006, K Y Mustafa mengeluarkan arahan sama dan meminta pihak terbabit mengambil tindakan selanjutnya.

Chong mendakwa tindakan Musa itu adalah berunsur 'mala fide' (niat jahat) dengan memberi arahan dan perintah kepada defendan lain dan dia telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Menteri dan atau 'ultra vires' (bertindak di luar kuasa) Ordinan Kerajaan Tempatan dan Ordinan Perancangan Bandar.

Beliau juga menuntut mahkamah antara lain mengisytiharkan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh mufti negeri yang melarang pembinaan patung itu kerana bercanggah dengan ajaran Islam, tidak berperlembagaan kerana melanggar Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com