20090402

Najib akui tanggungjawab amat berat

PUTRAJAYA 1 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui tugas sebagai Perdana Menteri keenam yang bakal dipikulnya mulai Jumaat ini sebagai tanggungjawab amat berat dan merupakan penghormatan besar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau perlu melakukan yang terbaik supaya rakyat yakin bahawa kerajaan yang diterajuinya nanti mampu memenuhi kehendak dan aspirasi mereka.

Katanya, beliau merasa begitu insaf dan rendah diri kerana ia tiada kaitan dengan status atau soal kuasa, sebaliknya tanggungjawab menjadikan kerajaan sebagai tempat kepada rakyat untuk bergantung harapan.

“Timbul rasa keinsafan amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ia bukan satu status, bukan soal kuasa tapi tanggungjawab sangat berat.

“Saya perlu lakukan yang terbaik supaya rakyat yakin kepada kerajaan dan merasakan bahawa inilah kerajaan yang berkhidmat untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pakej rangsangan ekonomi bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di sini hari ini.

Najib ditanya mengenai perasaannya menjelang majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat ini.

Mengenai ramalan penganalisis politik bahawa barisan Kabinet baru yang bakal diterajuinya lebih kecil, Najib berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan.

Ditanya mengenai mesyuarat Kabinet hari ini, Najib terharu dan menghargai amanat terakhir Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, Abdullah bersikap terbuka ketika berbincang dengan barisan Kabinet mengenai apa yang telah dilaksanakan di bawah kepimpinannya selama lima tahun.

Katanya, Perdana Menteri juga melahirkan harapan tinggi terhadap kepimpinan baru nanti.

“Saya begitu menghargai nasihatnya dan dia (Abdullah) memang benar-benar ikhlas dengan apa yang diperkatakan.

“Itulah apa yang pernah kami bincangkan sebelum ini,” katanya.

Najib memberitahu, Abdullah juga menyatakan kesediaan untuk memberikan pandangan dan sokongan jika diperlukan tapi tidak sesekali campur tangan atau mengkritik kepimpinan baru.

Ditanya sama ada terdapat majlis perpisahan khas untuk Abdullah, beliau menjelaskan, ia akan diadakan pada waktu dan keadaan yang sesuai.

“Pak Lah seorang yang suka sesuatu yang sederhana.

“Dia mungkin kurang selesa dengan majlis sedemikian dan kita akan cari kesesuaian nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, mesyuarat Kabinet terakhir hari ini berlangsung dalam suasana muram.

Katanya, Abdullah kelihatan gembira sepanjang mesyuarat namun nada suaranya agak perlahan.

“Boleh dikatakan perasaan Abdullah bercampur-campur,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, semua anggota Kabinet hadir pada mesyuarat hari ini kecuali Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang kini berada di luar negara.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com