|
SUNGAI PETANI 1 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Datuk S. Ganesan tetap cergas menghadapi kempen pilihan raya itu walaupun tidak cukup tidur sejak penamaan calon pada Ahad lalu.
Menurut Ganesan, beliau tidak berasa tertekan dengan keadaan berkenaan walaupun terpaksa menyesuaikan diri masuk tidur pukul 3 pagi dan bangun kira-kira tiga jam selepas itu.
"Saya habis kempen pukul 2 pagi dan balik rumah berbincang rancangan hari berikutnya sebelum tidur.
"Kira-kira pukul 6 pagi, saya sudah dikejutkan dan teruskan aktiviti berkempen," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau dekat sini hari ini.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas itu, kadangkala beliau terpaksa melelapkan mata sejenak dalam kereta ketika bergerak dari satu kawasan ke kawasan berkempen yang lain.
"Memang kadangkala agak mamun tapi semua terkawal kerana saya dapat beri perhatian semasa berkempen. Saya akan lakukan terbaik," ujarnya.
Ditanya tentang pengambilan makanan, Ganesan berkata, beliau tidak gemar makan vitamin atau pun minuman penambah tenaga.
"Sebaliknya, saya hanya amalkan aktiviti bersukan jika ada kelapangan," katanya.
No comments:
Post a Comment