20090402

Netanyahu berjanji capai perdamaian dengan Arab

BAITULMAQDIS 1 April - Perdana Menteri baru Israel, Benjamin Netanyahu, 59, berjanji untuk mencapai 'perdamaian penuh' dengan dunia Arab dan Islam tetapi enggan meluahkan kata-kata yang ingin didengar oleh seluruh dunia iaitu 'negara Palestin'.

Pemimpin kem pelampau berhaluan kanan itu semalam, beria-ia cuba memaparkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik, dengan memberitahu ahli Parlimen yang meluluskan Kabinetnya bahawa Israel tidak mahu memerintah rakyat Palestin.

"Di bawah perjanjian status akhir, penduduk Palestin akan memiliki segala kuasa untuk menjalankan pemerintahan sendiri," kata Netanyahu dalam kenyataan yang dipercayai merujuk kepada tanggapan lama bahawa perdamaian boleh dicapai dengan memberi autonomi terhad kepada Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam reaksinya berkata, Perdana Menteri baru Israel tersebut "tidak mempercayai perdamaian" dan para pemimpin dunia perlu mengenakan tekanan ke atas beliau.

"Netanyahu tidak pernah mempercayai penyelesaian menerusi penubuhan negara Palestin atau menerima perjanjian yang sudah ditangani dan tidak mahu menghentikan kegiatan pembinaan kawasan penempatan Yahudi," tegas Abbas dalam satu wawancara hari ini.

Kenyataan Netanyahu semalam, turut mendapat reaksi tajam daripada perunding damai Palestin, Saeb Erekat.

"Saya ingin memberitahu Netanyahu, satu-satunya cara penduduk Palestin boleh menjalankan pemerintahan sendiri adalah dengan berakhirnya pendudukan Israel yang bermula pada 1967 dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka," tegas Erekat.

Keengganan Netanyahu untuk menerima penubuhan negara Palestin dijangka mencetuskan perbalahan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan seluruh dunia.

Begitu jugalah dengan keputusannya untuk melantik ahli politik ultranasionalis anti-Arab, Avigdor Lieberman sebagai Menteri Luar.

Bagaimanapun, sejak beberapa hari kebelakangan, Netanyahu telah memulakan langkah untuk melembutkan imejnya, membawa masuk Parti Buruh yang berhaluan sederhana ke dalam kerajaan campurannya dan mengumumkan sokongan beliau terhadap rundingan damai dengan Palestin.

Dalam ucapan di Parlimen semalam, Netanyahu memuji kebudayaan Islam sebagai 'agung dan kaya' dan membayangkan kemungkinan Israel dan negara-negara Arab berfahaman sederhana mencari kata sepakat untuk memerangi puak radikal serta apa yang disifatkannya sebagai rejim ekstremis di Iran.

Namun demikian, belum ada tanda-tanda menunjukkan kenyataan terbaru Netanyahu itu bukan sekadar kata-kata yang disuarakan untuk meraih sokongan Barat.

Malah beliau belum menarik balik janjinya untuk meneruskan peluasan kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Kerajaan baru beliau juga dianggotai oleh ramai menteri yang menentang penyerahan balik wilayah kepada Palestin.

"Dalam kerajaan beliau ada parti-parti yang mendukung fahaman perkauman dan fasis dan bukan sahaja berbahaya bagi penduduk Palestin tetapi juga rakyat Palestin," kata pegawai pergerakan Fatah, Abdullah Abdullah. - AP

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com