20090402

Tsu Koon: Kaum Cina tidak sabar mengundi

SUNGAI PETANI 1 April - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yakin pengundi kaum Cina akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi walaupun hari mengundi pada 7 April ini jatuh pada hari bekerja.

Tsu Koon berkata, keadaan persekitaran di Bukit Selambau jauh berbeza dengan kawasan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang sibuk serta padat dengan kenderaan sehingga menyebabkan para pengundi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Saya percaya pengundi kaum Cina tidak sabar untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi calon yang bakal menjadi pemimpin di kawasan ini.

"Inilah peluang mereka untuk membawa perubahan di kawasan ini dan saya harap mereka memilih calon yang benar-benar berwibawa," katanya ketika menjalankan kempen di Pasar Taman Ria di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat persepsi berbeza di kalangan masyarakat Cina mengenai Barisan Nasional (BN) dan pihaknya akan segera menerangkan kepada mereka serta menjawab setiap persoalan mengenai calon BN, Datuk S. Ganesan.

"Majlis makan keluarga akan diadakan di kawasan ini dan peluang ini akan diambil untuk menjelaskan kepada mereka mengenai perubahan BN.

"Kira-kira 300 orang telah menghadiri majlis pertama yang telah diadakan semalam dan sambutan yang diterima daripada penduduk adalah di luar jangkaan," ujarnya.

Katanya, semua calon juga diminta supaya sentiasa berhemah dalam menjalankan kempen masing-masing untuk mengelakkan berlaku perkara tidak diingini sepanjang tempoh berkempen.

"Pergaduhan perlu dielakkan kerana ia tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak," jelasnya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com