20090407

PAS, PKR alu larangan akhbar ditarik balik

PAS menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menarik balik larangan penerbitan sementara dua akhbar, Harakah dan Suara Keadilan sebagai petanda yang mampu menyuburkan semangat demokrasi di negara ini.

salahuddin ayub 01Ketua Pemuda PAS Pusat Sallahuddin Ayob berkata langkah menarik balik larangan itu dilihat mengembalikan kepada yang hak yang sememangnya diberikan sebelum ini serta ia sememangya sepatut dilakukan oleh Najib yang baru memegang jawatan itu.

"Adalah diharapkan jika Perdana Menteri ingin menyuburkan lagi semangat demokrasi yang mungkin menjadi perkara yang dilakukan hari ini, kita berharap supaya akhbar rasmi PAS, Harakah dan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diberikan permit harian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Walaupun Najib tidak menyebut secara khusus nama dua akhbar terbabit dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri malam ini tetapi diketahui umum bahawa Harakah dan Suara Keadilan telah digantung sementara penerbitannya.

Harakah dan Suara Keadilan digantung serta-merta selama tiga bulan mulai 23 Mac lepas.

Salahuddin berkata tindakan Najib itu juga mampu menaikkan rating negara sebagai sebuah negara yang tinggi indeks demokrasi di dunia.

Mengenai tindakan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kajian semula akta itu, Salahuddin berkata sekiranya ruang yang terbentang sekarang ini digunakan sepenuhnya, ia merupakan satu harapan baru untuk
mendapatkan impak yang lebih baik dalam menghapuskan ISA.

"Pembebasan 13 orang tahanan itu juga adalah satu permulaan ke tahap ISA dihapuskan. Akta yang sedia ada sudah cukup untuk menjaga keselamatan negara," katanya.

syed husin aliSementara itu, Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata parti itu turut mengalu-alukan pengumuman perdana menteri menarik balik sekatan ke atas Suara Keadilan serta Harakah dan membebaskan 13 orang tahanan ISA.

"Ini adalah hasil desakan rakyat. Dari mula-mula lagi sebenarnya tidak ada sebab Kerajaan harus mengenakan sekatan akhbar tersebut dan menahan tahanan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, tegasnya, pengumuman ini, yang dibuat menjelang tiga pilihanraya kecil pada 7 April ini, akan dilihat sebagai bermuslihat politik dan tidak ikhlas sekiranya ia tidak diikuti dengan beberapa tindakan
lebih lanjut.

Demi pengukuhan demokrasi di negara ini, katanya, PKR menggesa Najib supaya segera mengambil tindakan berikut:

• Tidak membenarkan sebarang tahanan ISA dan penggantungan atau pengharaman penerbitan tanpa sebab pada masa akan datang;

• Membebaskan tanpa syarat semua yang masih dalam tahanan ISA; dan

• Memansuhkan ISA dan Akta Penerbitan dan Percetakan yang tidak adil itu.

"Perlu diingat bahawa apabila mula menjadi perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah membebaskan beberapa orang tahanan ISA dan menjanjikan media yang lebih bebas.

"Tetapi, semua ini dilupakan dan beliau memilih jalan yang lebih zalim.
Najib hendaklah memastikan beliau tidak akan mengikut jalan yang sama," tegas Syed Husin.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com