20090501

PDIP atasi Demokrat selepas kiraan 30 peratus undi

JAKARTA: Suasana politik Indonesia hari ini riuh apabila Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono buat pertama kalinya diatasi oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dalam pengiraan undi hasil pilihan raya umum 9 April.

Sebelum ini dalam hitungan secara "kiraan pantas" Demokrat mendapat lebih 20 peratus undi mendahului parti lain sejak hari pengundian tetapi kini jatuh ke tempat kedua dengan perolehan 17.09 peratus.

Hasil pengiraan secara manual yang dibuat oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) setakat tengahari ini, menempatkan PDIP di kedudukan pertama dengan perolehan 19.49 peratus undi daripada sejumlah 31.62 juta undi yang telah dihitung.

Hasil terbaru itu menunjukkan PDIP yang mendapat 6.16 juta undi mengatasi Demokrat (5.40 juta) dengan perbezaan sebesar 2.4 peratus sehingga media massa online tempatan memaparkan tajuk berita seperti "PDIP Belum Terkejar Oleh Demokrat".

Beberapa pemimpin PDIP dalam reaksi kepada media massa kelihatan lebih yakin dengan hasil hitungan manual yang melonjakkan PDIP dari kedudukan kedua sebelum ini ke tempat teratas, malah ada yang meminta Presiden Susilo segera memberhentikan hitungan secara "kiraan pantas" yang disifatkan mereka tidak sah.

Mengulas kedudukan sementara PDIP yang mengatasi Demokrat itu, Speaker Majlis Permesyuwaratan Rakyat (MPR), Hidayat Nur Wahid, pula berkata akan terjadi "kiamat politik" di Indonesia jika hasil kiraan pantas yang dibuat oleh pelbagai lembaga kajian sebelum ini berbeza jauh daripada hasil penjumlahan undi secara manual.

Katanya, ini kerana masyarakat telah terlanjur percaya dengan hasil kiraan pantas itu yang menempatkan Demokrat di tempat pertama dengan perolehan lebih 20 peratus undi diikuti secara bergantian oleh Golkar dan PDIP di tempat kedua dan ketiga dengan perolehan masing-masing sekitar 14 peratus undi.

Bagaimanapun, Hidayat tidak menjelaskan lebih lanjut istilah "kiamat politik" yang dimaksudkannya, seperti dipetik laman web berita detikcom.

Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Agung Laksono, pula berkata rakyat Indonesia jangan sampai terumbang ambing akibat hasil sementara pengiraan undi secara manual itu kerana ia masih jauh daripada selesai kerana jumlah pengundi ialah 171 juta.

Mengulas data terbaru itu, anggota KPU, Endang Sulastri, berkata ia baru data hasil sementara dan belum merangkumi keseluruhan jumlah undi.

Bagaimanapun, beliau berkata KPU belum dapat memberikan penjelasan kenapa pengiraan secara elektronik dan manual yang dijalankan oleh KPU boleh memberikan hasil yang berbeza.

Sebaik berita PDIP mendahului Demokrat dan 36 parti politik lain itu tersebar, banyak kalangan rakyat Indonesia mulai mengubah tajuk perbualan daripada tumpuan kepada Susilo sebagai calon presiden berpeluang terbaik untuk menang bagi penggal kedua dalam pilihan raya Julai ini dan siapa bakal calon naib presiden yang akan digandingnya.

Tinjauan rambang Bernama mendapati banyak juga kalangan profesional, kakitangan awam dan rakyat jelata yang sukar mempercayai data terbaru PDIP mengatasi Demokrat walaupun ia hanya data hasil sementara.

"Payahnya bagi kebanyakan orang mempercayai data hasil sementara terbaru ini adalah wajar kerana sejak lebih 20 hari lepas mereka disodorkan dengan data hasil kiraan pantas yang meletakkan Demokrat di tempat pertama dan perbincangan mereka juga bersekitar mengenai data itu," kata pemerhati politik Salleh Dani.

Beliau berkata, selepas ini kedudukan parti-parti teratas itu akan berubah lagi apabila lebih banyak undi dijumlahkan dari semua 33 provinsi berbanding sekarang yang baru merangkumi 15 provinsi atau sekitar 30 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

KPU setakat ini telah menjumlahkan undi dari Sumatera Barat, Bangka Belitung, Yogyakarta, Bali, Bengkulu, Jawa Tengah, Kalimantan Barat, Jambi, Kepulauan Riau, Lampung, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Sulawesi Selatan, Sulawesi Utara dan Banten.

Perkembangan ini menjadikan lebih menarik senario percaturan antara parti-parti politik, yang sedang hebat berlangsung sekarang untuk membentuk gabungan, bagi menguasai majoriti di DPR (parlimen) Indonesia yang berjumlah 560 kerusi itu dengan berpaksikan kepada tiga parti teratas iaitu Demokrat, PDIP dan Golkar.

Gabungan itu boleh terbentuk hanya oleh sembilan atau sepuluh buah parti sahaja yang mendapat jumlah undi yang mencukupi untuk masuk ke parlimen iaitu tidak kurang daripada 2.5 peratus jumlah keseluruhan undi 171 pengundi berdaftar Indonesia.

Jika PDIP terus menerus berada di tangga teratas hasil pengundian 9 April itu, sangat menarik juga untuk diperhatikan sama ada peluang Susilo untuk terus dianggap sebagai calon presiden paling popular pada pengundian 8 Julai ini akan kekal di fikiran rakyat atau akan berubah kepada Megawati Soekarnoputri, pemimpin PDIP.

Salleh berkata, jika kedudukan PDIP mendahului Demokrat berterusan, tidak mustahil parti-parti yang sebelum ini sudah berbincang dan rapat dengan Demokrat yang menjadi teras pemerintahan Indonesia sekarang, akan berubah angin kepada PDIP demi untuk berkongsi kekuasaan. - Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com