20090417

Penjelasan lebih menyeluruh


Rais Yatim menyampaikan amanatnya kepada warga Kementerian Penerangan di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 April - Masyarakat akar umbi akan diperjelaskan mengenai kepentingan mengamalkan konsep Satu Malaysia yang meletakkan kepentingan keharmonian tanpa mengira pegangan agama, kaum dan politik.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kementeriannya akan menggunakan agensi dan jabatan di dalam kementerian itu mewujudkan pelbagai program membabitkan masyarakat kampung, bandar, profesional, perkhidmatan awam dan lain- lain.

"Setiap segmen masyarakat harus menyumbang untuk menjayakan Satu Malaysia termasuk kepentingan Sabah, Sarawak, generasi muda dan apa yang diutamakan oleh generasi lama menerusi kepentingan dan perkhidmatan awam.

"Perdana Menteri tidak menyatakan satu sukatan sebab konsep Satu Malaysia ini ialah hanya ke arah keharmonian bersama tak kira pegangan agama, politik dan mengutamakan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Bagi menjayakan konsep Satu Malaysia, beliau turut meminta bloggers dan pengamal media agar tidak menyebarkan dakyah palsu atau memutar belit fakta yang boleh menggagalkan konsep Satu Malaysia.

Beliau berkata, pihak berkenaan perlu mempunyai bukti sebelum melaporkan sesuatu isu di samping memastikan setiap fakta yang disebarkan adalah tepat.

"Adalah mustahil konsep Satu Malaysia mampu dilaksanakan jika rakyat tidak mendapat informasi yang tepat mengenai sesuatu perkara. Setiap berita yang disebar perlu dibuktikan kebenarannya.

"Jika anda mengkritik, itu mungkin sesuatu yang baik dan boleh diterima. Namun penyebaran berita palsu dan memutar belit fakta adalah sesuatu yang merbahaya," katanya.

Beliau akan mengambil langkah tertentu bagi mengatasi masalah itu dengan mewujudkan sistem pengawasan bagi menangani aduan mengenai masalah penyebaran berita yang tidak benar atau penipuan fakta.

"Sesiapa juga boleh membuat aduan. Mereka yang bersalah akan dirujuk kepada pihak berkuasa di bawah akta-akta tertentu dan terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," jelasnya.

Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan melalui RTM cuba menyembunyikan fakta dengan tidak menyiarkan berita 'kehilangan' 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Persidangan DUN Terengganu kelmarin.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com