20090417

Mohammad Fairus letak jawatan

KUALA LUMPUR 16 April - Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairud in mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuat kuasa hari ini.

ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, dalam kenyataan empat perenggan yang dihantar melalui emel kepada Bernama berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

"Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini," kata Mohammad Fairus, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mohammad Fairus, 32, yang meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuat kuasa 8 April lepas, berkata tindakannya itu dibuat setelah mengambil kira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang beliau wakili serta demi memelihara kepentingan PKR.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sepatutnya melantik TKM I Pulau Pinang yang baru minggu lepas tetapi beliau memberi masa seminggu kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membuat keputusan tentang calon akan menggantikan Mohammad Fairus.

Beliau melanjutkan tempoh itu semalam apabila penasihat PKR itu tidak memberi sebarang nama.

Di PULAU PINANG, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa Mohammad Fairus telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Abdul Halim Hussain hari ini.

Ketika dihubungi beliau berkata perbincangan untuk meletak jawatan dibuat antara Anwar dengan Mohammad Fairus.

"Urusan itu antara mereka berdua dan saya hanya dimaklumkan sahaja.

Perkembangan lanjut, tolong dapatkan dari Speaker," katanya. - BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com