Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 42, yang merupakan Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang ditahan polis hari Selasa, dibebaskan setelah ditahan polis selama 24 jam bagi diambil keterangannya.
Beliau yang ditahan bagi membantu siasatan penghantaran SMS berbaur ugutan yang diterima oleh tiga ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu pada 14 April lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
Pembebasan beliau itu disahakan oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd Jamil.
"Siasatan berhubung kes SMS ugutan berkenaan hampir selesai dan kertas siasatan sedang disiapkan untuk dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu, hari Rabu semasa memaklumkan pembebasan Ramzi.
Menurut Hamzah, bagi melengkapkan siasatan pihak polis telah merampas komputer riba Ramzi di rumahnya di Kota Damansar, Kuala Lumpur dan dua lagi komputer riba serta modem dari rumahnya di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.
14 April lalu tiga Adun BN iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) membuat laporan polis selepas menerima SMS yang berabur ugutan tersebut.
SMS itu dikatakan dihantar daripada nombor telefon mudah alih seorang pegawai di pejabat Menteri Besar Terengganu.
Penghantaran SMS itu dikaitkan dengan dakwaan kononnya ada ADUN-ADUN BN yang berusaha untuk membuat usul tidak percaya terahdap Menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad Said pada sidang DUN Terengganu ketika itu.
Ekoran SMS tersebut juga, 10 ADUN BN tidak hadir sidang DUN dan mencetuskan polemik politik di Terengganu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengarahkan semua ADUN tersebut hadir sidang DUN dan arahan itu dipatuhi.
Malah Najib juga sudah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Said dan idris Jusoh di pejabatnya ekoran isu politik dalaman BN yang berlaku di Terengganu itu. – 13/5/2009
No comments:
Post a Comment