20090514

'Business as usual'...Zambry umum projek pembangunan Perak

TERBARU 2 petang: Saya terima keputusan semalam, saya harap mereka terima keputusan hari ini



Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersyukur dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.

Menurutnya, keputusan ini membuktikan keterbukaan undang-undang negara serta amalan demokrasi.

Harapan beliau, pihak pembangkang menerima keputusan tersebut dan tidak bertindak seperti sebelum ini yang tidak menerima keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penggantungan beliau dan enam Exconya.

"Seperti saya menerima keputusan Mahkamah semalam, saya harap mereka juga menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini," katanya pada sidang media di Ipoh.



Mengenai tindakan Nizar menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dr Zambry berkata, sesuai dengan penangguhan keputusan oleh Mahkamah Rayuan itu, penggantungan itu terbatal dan kedua-dua pegwai itu kekal memegang jawatan.

Beliau juga menegaskan, Barisan Nasional (BN) akan menjalankan tugas sebagai kerajaan negeri sesuai dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Ditanya apakah komen beliau sekiranya Nizar dan pembangkang tidak menghormati keputusan Makamah Rayuan itu, Dr Zambry berkata "ini keputusan mahkamah. Ia libatkan soal tata susila." - 12/5/2009

TERBARU 1.00 tengahari: Mahkamah Rayuan benarkan permohonan Dr Zambry

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari Selasa membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengesahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih sah sebagai Menteri Besar Perak.

Dengan keputusan itu, Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar.

Hakim Datuk Ramly Ali yang membuat keputusan itu berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh dalam waktu terdekat bagi mendengar rayuan Dr Zambry untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. - 12/5/2009

10.00 pagi: Nizar masuk pejabat, Dr Zambry jumpa ADUN BN

Suasana di sekitar Ipoh tenang-tenang saja. Datuk Seri Nizar Jamaluddin masuk ke pejabat Menteri Besar di bangunan Perak Darul Ridzuan jam 7.25 pagi.

Beliau kemudiannya ke Istana Iskandariah Kuala Kangsar bagi hadiri acara pengurniaan pingat oleh Sultan Perak.

Manakala kira-kira jam 10 pagi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengadakan perjumpaan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional di bangunan UMNO Perak bagi membincangkan langkah-langkah terbaru nak diambil.

Sementara itu di Putrajaya,peguam bagi pihak Dr Zambry failkan rayuan bagi menanguhkan perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi sahkan Nizar Menteri Besar.- 12/5/2009


Politik Perak: Nizar belum dapat tidur nyenyak...


Sesuai dengan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur yang memutuskan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak yang sah, Barisan Nasional (BN) sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan keputusan tersebut.

Ini kerana dalam penghakiman yang disampaikan oleh Hakim, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim secara jelas menyebut bahawa jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Malah beliau berkata, Nizar bukan sahaja tidak meletakkan jawatannya tetapi tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, jika Barisan Nasional (BN) telah memperolehi sokongan majoriti ADUN, BN seharusnya memohon perkenan Sultan Perak untuk diadakan sidang khas bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap Nizar dibuat.

“Memang pemohon (Nizar – berdasarkan perkembangan yang berlaku di Perak) telah hilang majoriti tetapi tiada undi tidak percaya dibuat terhadap Nizar di DUN. Mana-mana Menteri Besar yang telah dilantik, beliau hanya bertanggungjawab kepada DUN dan hanya boleh diturunkan sekiranya undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang DUN,” kata Hakim itu lagi.

Berdasarkan keputusan ini, Agendadaily sempat menemui Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub bertanyakan bagaimana jika BN yang kini pegang majoriti dengan 31 ADUN memohon kepada Sultan Perak agar diadakan sidang khas bagi mengemukakan undi tidak percaya.

Beliau berkata, biarlah proses itu berlaku dan sebarang keputusan daripadanya sudah tentu akan diterima baik oleh semua pihak.

Berdasarkan kemungkinan tersebut, ada pemerhati politik yang merasakan BN kini sebenarnya mempunyai kelebihan untuk melaksanakan keputusan mahkamah tersebut.

Ini kerana, dengan keputusan mahkamah itu, BN yang kini menguasai majoriti dalam DUN Perak boleh memohon kepada Sultan Perak untuk memanggil sidang khas dewan negeri itu bagi membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan.

Sidang khas ini boleh diadakan kerana berdasarkan kepada kenyataan Nizar sendiri selepas keputusan mahkamah itu dimana beliau berkata, semua keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Exconya akan dikaji semula kecuali keputusan mengadakan sidang DUN 7 Mei lalu yang boleh diterima.

Jika begitu bunyinya adakah ini juga bermakna beliau turut mengiktiraf perlantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker yang mengendalikan sidang DUN yang dirasmikan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah Khamis lalu.

Malah hasrat Nizar untuk membubarkan DUN Perak menimbulkan persoalan.Adakah beliau mempunyai sokongan DUN untuk berbuat demikian kerana 31 daripada 59 ADUN Perak berpihak kepada BN.Disebelah pakatan pembangkang 28.

Ada yang berpendapat, jika Nizar masih mahu terus mencadangkan pembubaran DUN, beliau perlu mendapat keputusan DUN terlebih dahulu kerana buat masa ini beliau menjadi Menteri Besar yang hanya mendapat sokongan 28 ADUN berbanding 31 ADUN yang menyokong BN.

Semua ADUN BN itu tentunya tidak bersetuju dengan pembubaran DUN.

Disamping itu satu persoalan paling besar sekali apakah Sultan Perak akan bersetuju DUN dibubarkan.Kuasa penentu itu kini terletak ditangan baginda.

Yang pasti sebelum ini - yakni semasa peralihan kuasa dari kerajaan Nizar kepada Dr Zambry awal Februari lalu baginda telahpun menolak permohonan Menteri Besar itu untuk membubarkan DUN.

Keputusan mahkamah hanya menyentuh batang tubuh Nizar dan jawatannya sahaja dan tidak melibatkan kuasa Sultan dalam soal pembubaran DUN.

Ada juga yang bertanya bagaimana dengan kedudukan para Exco kerajaan negeri BN yang dilantik semasa Dr Zambry jadi Menteri Besar.

Apakah jawatan mereka juga terlucut dengan sendirinya ekoran keputusan mahkamah itu dan Exco lama yang dilantik oleh Nizar boleh terus kembali bertugas?

Ini kerana keputusan mahkamah secara spesifik tidak menyentuh kedudukan mereka.

Dalam pada itu,seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak BN akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Beliau berpandangan BN mempunyai kes yang kukuh dalam soal ini.

Sebenarnya berbagai persoalan lagi masih terus jadi bahan spekulasi dan belum beres sekalipun Nizar kini sah dapat duduk balik kerusi Menteri Besar.– 11/5/2009



Mahkamah putuskan Nizar MB Perak yang sah...



Mahkamah Tinggi telah memutuskan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam keputusanya Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata Menteri Besar cuma boleh disingkir menerusi undi tak percaya sedangkan Dewan Undangan Negeri Perak tidak adakan undi berkenaan keatas Nizar.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai Menteri Besar. Namun rayuan rasmi boleh dibuat.

Sementara itu Nizar memberitahu wartawan beliau akan mengadap Sultan Perak secepat mungkin untuk mohon perkenaan membubarkan DUN.Beliau juga meminta Dr Zambry dan para Exco BN mengosongkan jawatan dan pejabat masing-masing.

Katanya mesyuarat Exco akan diadakan segera.

Dr Zambry pula ketika dihubungi berkata beliau menerima dengan tenang keputusan mahkamah itu dan akan merumuskan langkah seterusnya selepas ini. – 11/5/2009



Hari penentuan…siapa MB Perak ' yang sah '

Berita paling besar yang ditunggu oleh semua orang hari ini Isnin 11 Mei ialah keputusan Mahkamah Tinggi siapa Menteri Besar Perak yang sah.

Datuk Seri Dr. Zambry Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ?

Keputusan yang menentukan dari segi perundangan keatas pertikaian di Perak itu dijangka diumumkan oleh Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim di komplek mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur sekitar jam 2.30 petang.

Nizar bertegas mendakwa beliau masih Menteri Besar setelah Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar baru ekoran tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri pakatan pembangkang,dua PKR dan seorang DAP keluar parti masing-masing dan menjadi calon bebas serta menyokong Barisan Nasional.

Peguamnya Sulaiman Abdullah mendakwa Sultan Perak tidak ada kuasa pecat Nizar sedangkan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail menjelaskan itu tidak berlaku sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Ini kerana kini BN menguasai Dewan Undangan Negeri dengan 28 wakil rakyatnya dan tiga Bebas yang menyokongnya berbanding 28 di pihak pembangkang.-11/5/2009



Sultan bukan pecat Nizar tapi disingkir ikut Undang-Undang Tubuh Perak


Selama ini semua orang beranggapan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dipecat daripada jawatan Menteri Besar.

Namun, hari Khamis, Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur diberitahu Sultan Perak tidak memecat Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Perkara itu dihujahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Nizar untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Menurut Gani, penyingkiran Nizar dilakukan oleh Sultan Perak mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ekoran Nizar telah kehilangan kepercayaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Nizar hilang kepercayaan atau sokongan DUN tersebut ekoran tiga orang ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Radzi, ADUN Bukit Gantang Kapten (B) Osman Jailu, kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ADUN Jelapang, Yee Hit Foong (DAP) keluar daripada parti masing-masing dan menjadi ADUN Benas dan menyatakan sokongan kepada Barisan naisonal (BN) untuk mebentuk kerajaan yang baru.

Dengan perkembangan itu, BN yang mempunyai 28 kerusi mendapat sokongan daripada tiga ADUN Bebas menjadikan BN mendapat sokongan dan kepercayaan daripada 31 ADUN untuk membentuk kerajaan manakala pakatan pembangkang yang semasa membentuk kerajaan mempunyai 31 kerusi daripada pakatan DAP, PKR dan PAS tinggal 28 sahaja. - 5/4/2009

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com