20090520

Transformasi Umno jangan sampai hapuskan keistimewaan Bumiputera

Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

PERTUBUHAN Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar atau hari ini dikenali sebagai Umno, lahir pada 11 Mei, 1946, susulan daripada gerakan penjajahan Inggeris ketika itu yang berhasrat untuk memperkenalkan Malayan Union, yang akan menghapuskan hak keistimewaan bangsa Melayu, sebagai bangsa peribumi Tanah Melayu.

Nama pemimpin Melayu agung seperti Datuk Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang, Abdul Wahab Abdul Aziz, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Pendeta Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), adalah orang kuat dipilih untuk menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan Umno.

Kita perlu mengimbau sejarah penubuhan Umno yang lahir atas kesedaran dan kehendak perwakilan yang menghadiri Kongres Melayu SeTanah Melayu pertama pada 1 � 4 Mac, 1946.

Setahun sebelum itu, iaitu selepas tentera Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945, Kerajaan Britain menghantar tenteranya untuk menguasai semula Semenanjung Tanah Melayu dan serentak itu membawa perubahan radikal terhadap pemerintahan negeri-negeri Melayu.

Menerusi tipu helah Britain, Raja-Raja Melayu dipengaruhi supaya menandatangani perjanjian dengan Sir Harold MacMichael bagi menyerahkan kuasa pemerintahan serta kedaulatan kepada Kerajaan Britain.

Rancangan Malayan Union cadangan Britain itu hanya membabitkan Negeri-Negeri Selat, tidak termasuk Singapura akan mewujudkan Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai seorang Gabenor Inggeris.

Sultan-Sultan Melayu masih mengekalkan kedudukan masing-masing, tetapi dalam bidang kuasa yang terhad kepada agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Sebaliknya, Britain akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan seorang Gabenor Malayan Union.

Perkara paling menaik kemarahan Melayu ialah cadangan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang sudah menetap sekurang-kurangnya 10 tahun daripada 15 tahun, sebelum 15 Februari 1942.

Semua warga negara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum. Hak ini dikenali sebagai 'jus soli.'

Justeru, apabila cadangan Malayan Union diumumkan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945, bangsa Melayu dari Perlis hingga ke Singapura, bersatu dan membantah dengan lantang cadangan penjajah ini.

Satu perhimpunan besar-besaran yang pertama diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946. Ketetapan dipersetujui di kongres itu ialah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno; membantah penubuhan Malayan Union dan mengadakan derma pelajaran kebangsaan Melayu.

Suatu Jawatankuasa ditubuhkan untuk menyediakan Piagam atau Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau Umno dan perlembagaan itu diterima oleh perhimpunan yang bersidang di Johor Bahru pada 11 Mei 1946.

Tarikh itu perlu diingati seluruh bangsa Melayu kerana ia adalah tarikh yang mana Umno dilahirkan dengan rasminya dan menjadi parti politik pertama membangkang penubuhan Malayan Union.

Pemimpin Umno berjaya menasihatkan Sultan-Sultan Melayu supaya tidak menghadiri upacara pelantikan Gabenor Malayan Union yang pertama, Sir Edward Gent dan secara simbolik memanifestasikan kemarahan dan bangkangan orang Melayu terhadap Malayan Union.

Dua bulan selepas wujudnya Malayan Union, Kerajaan Britain mengubah pendirian dan bersedia mengadakan perbincangan dengan wakil Umno dan Sultan bagi mewujudkan satu Kerajaan Persekutuan baru.

Rundingan ini berlangsung hingga 21 Januari 1948 apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani Raja-Raja Melayu dengan wakil Kerajaan Britain yang mengembalikan semula kuasa dan kedaulatan Sultan. Secara rasmi Persekutuan Tanah Melayu dilahirkan pada 1 Februari 1948.

Enam puluh tiga tahun sudah berlalu, pemimpin Umno datang dan pergi silih berganti. Kepemimpinan tertinggi bermula daripada Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan terkini, Datuk Seri Najib Razak.

Peredaran zaman terasa begitu pantas � generasi kepemimpinan Umno sudah berubah. Umno juga sudah mengadakan perubahan mengenai peredaran masa. Bagaimanapun, perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan memastikan bangsa peribumi ini dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain, terus menjadi tonggak perjuangan parti.

Selepas lahir kerana kemelut Malayan Union yang mencemarkan kedaulatan Sultan-Sultan Melayu dan menghapuskan hak keistimewaan bangsa Melayu, Umno meneruskan perjuangan Melayu dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas tragedi rusuhan kaum terburuk pada 13 Mei, 1969.

Dasar ini digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991. Janji kerajaan yang diterajui Umno, walaupun keistimewaan untuk Bumiputera masih wujud, namun ia akan diganti secara beransur-ansur apabila kita sudah mempunyai keyakinan diri.

Tidak pernah dalam sebarang dasar yang digaris Umno, sebagai tonggak kepada kepemimpinan Barisan Nasional (BN) yang turut dianggotai komponen parti pelbagai kaum, membelakangkan kepentingan bangsa lain.

Cuma satu pinta parti ini ialah jangan dipertikai keistimewaan yang memang menjadi hak Melayu yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Negara kerana ialah adalah hak peribumi yang akan dipertahan sampai bila-bila.

Bagaimanapun, perkembangan menarik berlaku dalam kepemimpinan terbaru Umno hari ini.

Presiden Umno ketujuh dan Perdana Menteri Keenam, Najib menyediakan perancangan yang bakal mengubah struktur pemerintahan dan organisasi Umno yang bakal membuka pintu seluas-luasnya kepada proses demokrasi yang menjadi pegangan generasi baru hari ini.

Pilihan Raya Umum Ke-12 memberi tamparan hebat kepada Umno dan BN. Barisan kepemimpinan baru Najib mengakui kelemahan diri � sama ada bagi pihak Umno mahupun BN.

Perkara pertama yang dilakukan Presiden Umno yang baru memerintah selama 40 hari ini ialah menyatukan semua puak dalaman, sama ada kawan mahupun lawan politiknya serta mendesak barisan kepemimpinannya mengkaji kelemahan yang ada.

Arahan pertama Najib ialah mengkaji perubahan sistem pemilihan dalaman parti dan memastikan ia dibuka sehingga ke akar umbi. Justeru, tidak ada tarikh lebih sesuai untuk seluruh ahli Umno untuk melakukan muhasabah diri, selain daripada 11 Mei, tarikh lahirnya parti keramat untuk seluruh bangsa Melayu.

"Jika kita tidak berubah, kita akan rebah." Amaran Najib kepada seluruh barisan kepemimpinan baru Umno pada mesyuarat Majlis Tertinggi pertamanya, baru-baru ini. Ia sekali gus adalah amaran kepada seluruh bangsa Melayu, untuk survival masa depan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com