20090512

'Umno tidak boleh lagi bernostalgia'

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my


NAJIB dipeluk warga emas, Hamzah Bakar, 74, ketika tiba pada Mesyuarat Kelompok Cawangan Umno Bahagian Pekan, semalam.

Najib mahu perubahan ikut persekitaran politik semasa PM

PEKAN: Umno perlu membuat perubahan dalam pendekatan berpolitik untuk terus kekal relevan dan mendapat sokongan rakyat, terutama di kalangan generasi muda pasca kemerdekaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, parti itu tidak boleh lagi bersandarkan sentimen dan ingatan nostalgia perjuangannya membela bangsa, agama dan negara kerana ia masih tidak mencukupi untuk mendapat sokongan rakyat.

Katanya, persekitaran politik sekarang sudah jauh berbeza, termasuk masyarakat dan pengundi yang lebih terdidik dan bermaklumat hasil kejayaan dasar yang diperjuangkan Umno ketika ditubuhkan pada 11 Mei 1946.


"Sehubungan itu, Umno perlu melakukan perubahan dari segi pemikiran, politik, pendekatan, termasuk cara berkomunikasi mengenai dasar diperjuangkan Umno, imej yang ditonjolkan serta pembaharuan fizikal.

"Contohnya, kemampuan berbicara menerusi media baru kerana kebanyakan generasi muda mendapat maklumat yang membentuk pemikiran mereka menerusi saluran sedemikian... begitu juga cara berurusan dengan orang ramai kerana mereka mengharap dapat menyelesaikan masalah dengan pantas.

"Saya akan huraikan perkara ini dalam ucapan sempena Ulang Tahun Umno Ke-63 hari ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Kelompok Cawangan Umno Bahagian Pekan di sini, semalam.

"Kita tidak boleh terus berbangga dengan ingatan nostalgia yang menunjukkan kehebatan kita berjasa dan berbudi kepada bangsa, agama dan negara kerana ia tidak mencukupi untuk mempertahankan kedudukan parti di sisi rakyat.

"Kita mesti buat perubahan dan laksanakan pembaharuan mengikut persekitaran politik semasa dan ini termasuk pemimpin Umno cawangan jangan hanya fikir mereka yang sokong parti, tetapi juga mereka yang tidak menyokong dan bukan ahli," katanya.

Mengenai usaha menangani media alternatif, Najib berkata, ia perlu ditingkatkan bagi mewujudkan hubungan lebih positif dengan penulis blog supaya mereka memahami apa sebenarnya dilakukan Umno dan BN supaya tidak berlaku salah tanggapan dan persepsi di kalangan rakyat.

Mengenai dakwaan generasi muda sudah tidak menyokong Umno dan BN, beliau berkata: "Tidak semestinya... saya anggap mereka seperti kain putih.

"Terpulang kepada kita... kalau mereka dapat maklumat sebenarnya mereka akan sokong dan jika maklumat diselewengkan dan kita gagal menyampaikan apa sebenarnya mungkin mereka terpengaruh dengan cerita, walaupun tidak benar," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com