20090512

PPP disaran cari jalan selesai kemelut dalaman

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


MUHYIDDIN penyampaian piala Kejohanan Golf Persahabatan Patron�s Cup kepada pemenang, Jamalluden Abdu Malek di Seri Kembangan, semalam.

Parti komponen diingat tak tambah beban BN: Muhyiddin

SERI KEMBANGAN: Kepemimpinan Parti Progresif Penduduk (PPP) perlu menyelesaikan masalah parti mereka pada peringkat dalaman dan tidak menambah beban Barisan Nasional (BN) yang sudah pun menghadapi pelbagai cabaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun tidak berhak campur tangan dalam isu dalaman parti komponen BN itu, PPP wajar memikirkan penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut dihadapinya.

"Dalam BN, apa masalah pun perlu dielakkan kerana ketika ini kita sudah hadapi pelbagai masalah dan cabaran.

"Sebaiknya, cari jalan untuk mengukuhkan parti dan jika timbul sebarang isu dalam parti, elok diselesaikan secara molek supaya tidak memberi kesan kepada kedudukan BN, imej di mata rakyat dan kedudukan kerajaan," katanya pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Persahabatan Patron's Cup anjuran TSM Charity Golf di sini, semalam.

Kelmarin, Majlis Tertinggi PPP sebulat suara meluluskan usul memecat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah daripada parti itu kerana didakwa terbabit dengan politik wang.

Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, pemecatan Murugiah yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPP akan berkuat kuasa selepas pemilihan parti itu pada 7 Jun ini.

Keputusan memecat Murugiah dibuat 42 daripada 45 Ahli Majlis Tertinggi parti itu tanpa kehadiran Timbalan Menteri berkenaan.

Muhyiddin berkata, ketika ini, terlalu awal untuk membuat sebarang andaian berhubung perkembangan itu kerana beliau sendiri tidak mempunyai maklumat mengenainya.

"Saya tidak tahu apa asasnya (Murugiah dipecat), kita sebaik mungkin mahu elak timbul masalah dalam parti kerana ia boleh memberi masalah kepada kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada Kayveas akan diminta menjelaskan perkara itu pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada 18 Mei ini, Timbalan Pengerusi BN berkata: "Terserah kepada Presiden PPP jika mahu menjelaskan perkara itu... kita pun nak tahu apa sebenarnya yang berlaku."

Mengenai kedudukan Murugiah sebagai Timbalan Menteri di JPM pula, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menelitinya sebelum membuat sebarang keputusan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com