20090417

Elizabeth Wong kembali bertugas

SHAH ALAM 16 April - Ahli Exco Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menyambung tugas hari ini selepas menerima tawaran kerajaan negeri untuk kekal dalam dua jawatannya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri itu tiba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pukul 9.30 pagi menaiki kenderaan rasmi Toyota Camry bernombor pendaftaran BKF 7000.

Sejurus tiba, Elizabeth disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu bersama beberapa orang petugas dan diberikan sejambak bunga ros kuning.

Sekumpulan wartawan yang turut menunggu ketibaan beliau kemudian 'mengasak' dengan pelbagai soalan termasuk pertemuannya dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

''Saya sudah berjumpa dengan Menteri Besar malam tadi yang memberi taklimat apa yang patut saya lakukan terhadap kerja-kerja saya," katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut, Elizabeth menjawab; "Saya hanya mahu masuk ke pejabat dan memberi tumpuan kepada kerja seperti yang dinasihatkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar.

ADUN Bukit Lanjan itu yang cuba mengelak daripada bercakap panjang kemudiannya memberi alasan bahawa beliau perlu menyediakan dokumen berkaitan mesyuarat Tourism Selangor di pejabatnya di tingkat dua.

''Saya minta maaf sebab ada mesyuarat,'' katanya.

Februari lepas, Elizabeth meletak jawatan Exco negeri dan juga ADUN Bukit Lanjan selepas gambar separuh bogelnya tersebar di Internet sebelum 'menghilangkan' diri ke luar negara.

Kerajaan negeri kemudiannya memberi cuti kepada beliau atas alasan polis masih menyiasat kes penyebaran gambar separuh bogelnya, sambil memujuknya agar menarik balik peletakan jawatannya itu.

Sementara itu, wartawan yang tidak berpuas hati dengan jawapan Elizabeth terus menunggu di tingkat dua dengan harapan satu sidang akhbar diadakan.

Namun, setelah kira-kira satu setengah jam, pembantu khas beliau, Chong Pai Chee memberitahu, Elizabeth tidak akan mengadakan sebarang sidang akhbar atau menemui wartawan hari ini.

"Beliau (Elizabeth) hanya mahu kembali bekerja, jadi tidak perlulah wartawan tunggu di sini," katanya.

Utusan

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com