20090417

Jual beli undi, tidak beretika - SETARA

JAKARTA 16 April - Tindakan beberapa pemimpin politik yang membentuk pakatan semata-mata mahu mendapatkan kuota undi bagi melayakkan diri mereka bertanding pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dianggap sebagai tidak beretika.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Indonesia, Institut Demokrasi dan Keamanan (SETARA) menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika dan mengkhianati undi yang diberikan oleh rakyat.

Ketua Badan Pengurus SETARA, Hendardi berkata, beliau yakin pakatan yang terbentuk itu adalah hasil 'jual beli' suara yang dijalankan oleh para pemimpin politik.

"Rakyat telah membuat pilihan dan ia tidak seharusnya dijual beli semata-mata untuk mencapai cita-cita politik," katanya pada sidang akhbar di pusat pengiraan undi Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) di Hotel Borobudur di sini hari ini.

Perbuatan sedemikian katanya, hanya mencemar demokrasi, apatah lagi pemimpin terbabit sebelum ini memang mempunyai rekod tidak menghormati amalan demokrasi.

Ditanya apakah kenyataan itu merujuk kepada Ketua Dewan Pembina Parti Gerindra, Prabowo Subianto, Hendardi berkata, selain Prabowo, para pemimpin lain juga perlu lebih bertanggungjawab kerana rakyat telah mengundi parti-parti tertentu dan bukan pakatan yang mereka bentuk.

Semalam, Gerindra dan Parti Amanat Nasional (PAN) telah bersetuju membentuk pakatan bagi menghadapi Pilpres.

Dijangkakan Prabowo yang merupakan bekas pegawai tertinggi tentera Indonesia akan bertanding jawatan presiden, manakala Ketua Umum PAN, Soetrisno Bachir bertanding jawatan naib presiden.

Bagaimanapun, pakatan Gerindra dan PAN belum mencukupi kouta 20 peratus undi untuk layak bertanding pada Pilpres dan dijangka Parti Hanura yang juga dipimpin oleh bekas pegawai tentera iaitu Wiranto akan turut menyertai pakatan itu.

Sementara itu, AFP melaporkan - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dijangka memenangi pusingan pertama pilihan raya Presiden pada Julai ini untuk kembali memimpin negara.

Dalam tinjauan selepas pengundian yang dijalankan semasa Pemilihan Umum (Pemilu) seminggu lalu, Institut Survei Indonesia (LSI) meminta pengundi menyatakan siapa yang mereka pilih untuk menjadi Presiden pada 8 Julai ini dari kalangan enam calon.

Majoriti 53 peratus memilih Susilo, seorang bekas jeneral berperwatakan sederhana yang telah dipuji kerana pengurusan ekonominya dan berpendirian tegas memerangi rasuah, menurut keputusan tinjauan yang disiarkan hari ini.

Calon lain ketinggalan jauh di belakang, dengan bekas Presiden Megawati Sukarnoputri hanya memperoleh 16.5 peratus undi manakala bekas komander pasukan khas, Prabowo Subianto di tempat ketiga dengan 9.8 peratus.

Pengundian pusingan kedua yang dijadualkan pada September tidak perlu diadakan jika Susilo memenangi lebih daripada 50 peratus undi pada 8 Julai.

Menurut tinjauan itu, jika hanya tiga calon yang bertanding, Susilo akan memperoleh lebih banyak undi iaitu 59.8 peratus undi berbanding 18.9 peratus untuk Megawati dan 7.7 peratus untuk Naib Presiden, Jusuf Kalla.

Tinjauan LSI itu melibatkan 4,200 orang di seluruh Indonesia. - Utusan/ AFP

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com