20090415

Gerakan, MIC akur bincang masalah

KUALA LUMPUR 14 April - Luahan rasa tidak puas hati terhadap barisan Kabinet baru menerusi media akan membentuk pandangan negatif di kalangan rakyat bahawa pemimpin- pemimpin parti menyertai politik semata-mata untuk mendapatkan jawatan menteri.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, sebarang ketidakpuasan hati dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) seharusnya diluahkan kepada pucuk pimpinan BN melalui saluran dalaman yang sesuai.

Kata beliau, Gerakan amat setuju dengan nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membawa perasaan kurang senang dan masalah terus kepada Perdana Menteri.

"Kalau kita rebut jawatan dan mengutarakan perasaan tidak puas hati melalui media massa, orang ramai akan hilang keyakinan terhadap parti dan seluruh BN.

"Saya tidak menafikan bahawa jawatan itu adalah penting bagi setiap parti, tetapi apa yang lebih penting sebagai seorang pemimpin adalah membantu membangunkan negara serta memakmurkan kesemua rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas nasihat Muhyiddin semalam supaya pemimpin-pemimpin BN yang tidak puas hati dengan barisan Kabinet baru membawa perasaan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin berkata, tindakan itu lebih tepat berbanding membuat sebarang kenyataan secara terbuka di luar.

Baru-baru ini, seorang pemimpin kanan MIC mendakwa parti itu akan membincangkan cadangan untuk mengeluarkan keanggotaan mereka dalam Kabinet pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Khamis ini.

Cadangan itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati berkenaan dengan barisan Kabinet baru yang tidak memberi portfolio Kementerian Kerja Raya kepada wakil parti itu.

Bagaimanapun, pucuk pimpinan MIC ketika dihubungi hari ini berjanji akan akur kepada nasihat Muhyiddin supaya tidak membincangkan isu parti secara umum.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com