20090417

Obama raih RM8.75j hasil dua buku

WASHINGTON 16 April - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memperoleh hampir AS$2.5 juta (RM8.75 juta) tahun lalu daripada penjualan dua buku terlarisnya, menurut maklumat cukai yang dikeluarkan White House, semalam.

Menurut White House, Obama memfailkan bersama penyata cukai pendapatan persekutuan 2008 dengan isterinya, Michelle, mengisytiharkan pendapatan kasar terlaras sejumlah AS$2.7 juta (RM9.45 juta) dan membayar sebanyak AS$855,323 (RM3 juta) sebagai cukai pendapatan persekutuan serta AS$77,883 (RM272,591) bagi cukai pendapatan negeri.

Buku Obama, Dreams From My Father dan The Audacity of Hope: Thoughts on Reclaiming the American Dream, muncul sebagai buku terlaris New York Times dan telah terjual ribuan salinan di AS dan seluruh dunia.

Menurut penyata cukai, Obama memperoleh AS$2.5 juta (RM8.75 juta) daripada penjualan bukunya pada tahun lalu, ketika Senator Illinois itu berkempen bagi menjadi Presiden AS ke-44.

Presiden itu dan isterinya juga dilapor mendermakan sebanyak AS$172,050 (RM602,175) atau 6.5 peratus daripada pendapatan kasar terlaras mereka kepada 37 badan amal.

Sumbangan terbesar mereka yang dilaporkan ialah kepada sebuah kumpulan anti-kemiskinan, CARE dengan jumlah AS$25,000 (RM87,500) serta Tabung Kolej Kesatuan Negro.

White House turut mengeluarkan maklumat cukai Naib Presiden, Joe Biden dan isterinya, Jill yang mengisytiharkan pendapatan kasar terlaras sebanyak AS$269,256 (RM942,396) dan selepas cukai AS$183,315 (RM641,603). Angka itu termasuk royalti daripada bukunya yang bertajuk Promises to Keep.

Penyata cukai 2008 Presiden dan Naib Presiden itu dikeluarkan pada hari di mana jutaan pembayar cukai AS berdepan tarikh akhir untuk menyerahkan penyata cukai persekutuan atau berdepan penalti akibat lambat menyerahkannya.

Obama semalam, berjanji kepada rakyatnya untuk memperbaharui sistem cukai AS yang disifatkan sebagai keterlaluan, dengan mengatakan ia sangat sukar difahami kebanyakan pihak.

Cubaan Presiden itu untuk membentuk Kabinetnya selepas mengangkat sumpah pada 20 Januari lalu turut dirumitkan dengan masalah cukai beberapa calon Kabinet pilihannya.

Mereka termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner dan calon Setiausaha Kesihatan, Tom Daschle yang mengaku lambat membayar cukai pendapatan.

Daschle kemudian menarik diri daripada pencalonan, namun calon baru, Kathleen Sebelius yang juga Gabenor Kansas, terpaksa menyelesaikan kesalahan cukai. - Reuters

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com