20090415

PM arah 10 ADUN hadiri DUN

PUTRAJAYA 14 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak menghadiri persidangan DUN hari ini kembali menunaikan tanggungjawab itu seperti biasa esok.

Tegas Perdana Menteri, khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan mengancam nyawa mereka yang dikatakan menjadi punca kemelut itu sebenarnya bukan dihantar dari pejabat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Beliau turut menolak dakwaan tindakan 10 ADUN itu bermotif untuk menjatuhkan Ahmad.

“Mereka (mendakwa) dapat SMS, tapi SMS itu tidak berpunca dari pejabat Menteri Besar.

“Tidak ada kesahihan tentang SMS yang dihantar, jadi saya minta supaya mereka semua hadir persidangan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Bagi Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Najib mengulas tindakan 10 ADUN BN Terengganu yang enggan menghadiri hari kedua persidangan DUN hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.

Tindakan kesemua ADUN BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN bagi DUN Permaisuri, Paka dan Ajil malam semalam berhubung kemelut politik di negeri ini.

Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri persidangan Dewan itu ialah ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).

Ketiadaan mereka pada sesi soal jawab pagi ini, yang dihadiri semua 10 anggota Exco dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, menyebabkan ia didominasi semua lapan ADUN dari Pas. Hanya tiga wakil rakyat BN yang kelihatan menghadiri persidangan Dewan pagi ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu isu 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) enggan hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diselesaikan segera supaya tidak menjejaskan kedudukan BN.

Beliau tidak mahu masalah tersebut menjadi lebih serius kerana ia boleh memberikan imej negatif kepada rakyat Terengganu yang telah memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah.

Utusan

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com