Mafrel, NGO pemantau pilihanraya bebas, mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik semula kebenaran mendirikan pondok panas dalam pilihanraya kecil DUN Penanti hujung bulan ini.
mafrel penanti by election pc 190509 jamaluddin abdullahKoordinator Mafrel Pulau Pinang, Jamaluddin Abdullah berkata pihaknya akan menghantar memorandum bantahan hari ini supaya pilihanraya kecil itu benar-benar bebas daripada aktiviti berkempen pada hari mengundi.
Katanya, pengundi perlu diberi kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tenang tanpa sebarang pengaruh atau tekanan, lapor Bernama.
Ketika bercakap dalam sidang akhbar di Bukit Mertajam malam tadi, beliau berkata memandangkan SPR telah menyediakan kemudahan semakan butiran pemilih, maka pondok panas ini tidak diperlukan.
Beliau berkata pondok panas itu juga tidak wajar diadakan berikutan BN tidak bertanding kali ini dan saingan terhadap calon yang bertanding sudah berkurangan.
"Kalau pembangkang menggunakan pondok panas untuk berkempen pada hari mengundi, adalah tidak adil kepada calon-calon bebas kerana sudah pasti jentera mereka tidak setanding dengan kemampuan PKR," katanya.
Jamaluddin berkata sebelum ini SPR melarang parti-parti politik yang bertanding membina pondok panas di luar kawasan 50 meter dari pusat mengundi tetapi larangan itu ditarik semula selepas pakatan pembangkang menemui SPR baru-baru ini.
mafrel penanti by election pc 190509 01Katanya, pertarungan calon pada pilihanraya kecil kali ini unik kerana pertandingan tertumpu kepada PKR dan beberapa calon bebas.
Menurutnya, Mafrel meletakkan lebih 50 pemantau untuk pilihanraya kecil itu dan akan melaporkan kepada SPR serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sebarang salah laku atau perbuatan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Kami juga akan memantau sama ada PKR menggunakan jentera kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kempennya dan kami akan mendedahkan perkara itu jika ia berlaku," katanya.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lepas.
Berikutan kekosongan kerusi itu, SPR menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon dan 31 Mei sebagai hari mengundi jika terdapat pertandingan.
malaysiakini
No comments:
Post a Comment