20090501

Isu sempadan, 2 hala dibincang

Laporan dari Seri Begawan oleh Azizi Othman
bhnews@bharian.com.my


NAJIB berbincang dengan Sultan Hassanal Bolkiah ketika melakukan kunjungan hormat di Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan, malam tadi.



DATUK Seri Najib Razak berkata, proses rundingan berhubung isu persempadanan darat dan maritim antara Malaysia dan Brunei berjalan lancar dengan kedua-dua negara komited untuk mencapai persetujuan muktamad mengenainya tidak lama lagi.

Perdana Menteri menjelaskan, rundingan mengenai perkara itu yang dibuat berdasarkan persefahaman yang sudah dicapai sebelum ini menunjukkan perkembangan yang positif dan kedua-dua negara akan meneruskan proses berkenaan sehingga ia berjaya dimuktamadkan.

Katanya, dalam pertemuan empat mata beliau dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, di sini, malam tadi, kedua-dua negara mengambil perhatian bahawa isu persempadanan itu wajar dimuktamadkan segera bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala Kuala Lumpur-Bandar Seri Begawan.

“Sultan Hassanal Bolkiah memaklumkan bahawa baginda amat berpuas hati dan selesa dengan tahap hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei ketika ini serta berharap ia dapat terus diperkukuhkan lagi pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini, lewat malam tadi.

Perdana Menteri berkata, pertemuan antara beliau dan Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung lebih sejam itu berjalan dalam suasana yang sangat mesra dengan kedua-dua mereka sempat menyentuh mengenai pelbagai isu dua hala serta yang membabitkan kepentingan serantau.

“Sultan Hassanal Bolkiah juga menyatakan minat Kerajaan Brunei untuk melabur dalam beberapa projek tertentu di Malaysia menerusi Agensi Pelaburan Brunei (BIA), termasuk pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang di Pusat Bandaraya Lumpur (KLCC) serta meninjau beberapa yang lain.

Pertemuan itu sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke negara ini, bermula semalam. Ia adalah yang pertama membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan sejak Najib mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, awal bulan ini.

Sebelum mengadakan pertemuan itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta delegasi Malaysia menghadap Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri baginda, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim. Selepas pertemuan itu, Najib dan isteri serta delegasi Malaysia diraikan dalam majlis santapan diraja.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com